Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ceo syarikat pengeluar gula MSM diarah cuti, perjelas isu inventori

MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) berkata ketua pegawai eksekutif kumpulannya (GCEO) telah diarah bercuti sehingga notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah serta perlu menjelaskan isu berkaitan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn Bhd.

“Beliau telah diberi tempoh selama tujuh hari mulai hari ini bagi menjawab perkara itu," kata syarikat pengeluar gula itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut MSM, urusan perniagaannya akan diteruskan seperti biasa dan untuk tempoh sementara ini Lembaga Pengarah telah melantik Fakhrunniam Othman sebagai pegawai bagi menjalankan tugas-tugas GCEO.

Pada masa ini, Fakhrunniam merupakan pegawai pelaburan kumpulan FGV Holdings Bhd.

“Lembaga Pengarah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif yang dianggotai tiga pengarah MSM - Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Datuk Dr Abd Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzilah Hassan untuk membimbing dan membantu pegawai bertanggungjawab dalam tempoh sementara ini," kata syarikat itu.

Menurut MSM, sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan kelak.

- Bernama