Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

#KitaMalaysia - meraikan semangat kekitaan

Tahukah anda, pancaragam bagpipe Sri Dasmesh Sikh muncul sebagai pemenang utama dalam Kejohanan Pancaragam Bagpipe Dunia di Scotland?

Ini hanya satu daripada banyak lagi kejayaan rakyat Malaysia yang ingin kita sanjungi dalam tempoh Hari Merdeka (31 Ogos) dan Hari Malaysia (19 September) - meraikan apa yang unik sebagai rakyat Malaysia dalam projek #KitaMalaysia.

Siri Video Digital #KitaMalaysia mengiktiraf kejayaan rakyat Malaysia yang memenangi anugerah antarabangsa pada tahun 2019.

Dalam siri video inspirasi itu, kami tanya mereka: “Apa yang buat kamu bangga jadi rakyat Malaysia?”.

Selain anggota Sri Dasmesh Sikh, turut diketengahkan jurugambar pemenang anugerah Edwin Ong Wee Kee, pengamal karate P Madhuri serta Tan Chin Seng yang memenangi anugerah di Itali susulan kemahiran pembuatan biola.

Selain itu, terdapat juga tiga chef pembuat pastri yang memenangi Piala Pastri Sedunia dan Siti Nurafaf Ismail - wanita pertama Asia yang mendapat Royal Institute of British Architect's Norman Foster Travelling Scholarship.

Kami juga bercakap dengan Emir Haady Imran Zulharnain, pelajar termuda di Kolej Pembedahan Diraja Dublin dan Hakeem Mohammad Akmal yang mendapat markah terbaik dalam Kertas Transaksi Prekodan Kewangan oleh Association of Chartered Certified Accountants, badan sedunia untuk profesional akauntan.

 Pereka barang kemas Tina Winness Wong dan pengarah filem Victor Chen, yang filem pendeknya My Ba's Radio merangkul anugerah di Itali, turut berkongsi kisah mereka.

Sesi fotografi 24 jam

Kami turut menganjurkan acara unik sesi fotografi 24 jam.

Bermula jam 7 pagi esok hingga 7 pagi Khamis (9-10 September), tiga jurufoto akan berkunjung ke lokasi-lokasi ikonik di Kuala Lumpur dan mengambil gambar 12 model dengan pelbagai pakaian etnik oleh 12 pereka Malaysia.

Acara itu akan dirakamkan dalam bentuk rakaman video dan akan dimasukkan dalam Malaysia Book of Records. Anda boleh ikuti acara itu di sini.

Video lengkap juga boleh disemak di Facebook #KitaMalaysia.

Akhir sekali, terimalah lagu #KitaMalaysia oleh kumpulan Colour of Voices - yang menyampaikan mesej kenegaraan dan semangat kekitaan.