Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peguam Najib mohon keluarkan sebahagian keterangan bekas CEO 1MDB

KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini mendengar permohonan pasukan peguam Najib Razak untuk mengeluarkan sebahagian daripada keterangan saksi bertulis bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah ketika perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri itu hari ini berkata, dokumen setebal 118 halaman itu mengandungi banyak tuduhan.

Merujuk kepada dokumen mahkamah yang mengandungi 224 perenggan itu, Shafee mendakwa bahagian tertentu merupakan bukti dengar cakap.

Menurut undang-undang, dengar cakap merujuk kepada keterangan saksi mengenai apa yang diperkatakan orang lain kepada saksi itu.

Shafee berkata salah satunya merujuk kepada apa yang dikatakan oleh ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Hazem.

Shafee berpendapat bahawa bahagian itu, yang mempunyai tuduhan mengenai tujuan penubuhan 1MDB yang dihubungkaitkan dengan parti politik tertentu, adalah dakwaan yang sangat serius yang memerlukan Jho Low sendiri dipanggil untuk memberi keterangan.

"Ini tidak dapat diterima kerana dia (Hazem) menuduh Jho Low memberitahunya bahawa ini adalah tujuan 1MDB," kata Shafee sambil menambah pihak pendakwa tidak akan memanggil Jho Low untuk mengesahkan atau membantah perkara itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa pihak berkuasa masih berusaha mengesan keberadaan Jho Low untuk membantu siasatan terhadap kes 1MDB.

Ketika membangkitkan bantahan pihak pembelaan, Shafee berhujah bahawa bahagian keterangan Hazem hanya boleh diterima jika Jho Low sendiri datang ke mahkamah, mengangkat sumpah, dan memberi keterangan berdasarkan pengetahuan peribadinya (Jho Low) mengenai perkara itu.

"(Oleh kerana Jho Low tidak akan datang ke mahkamah untuk memberi keterangan), maka saya tidak dapat memeriksanya (Jho Low) apakah dia mengatakan yang sebenarnya," kata Shafee kepada mahkamah.

"Saya membuat permohonan agar bahagian pernyataan saksi yang ditandai dengan warna kuning dikeluarkan," kata peguam veteran itu.

Timbalan pendakwaraya (DPP) Ahmad Akram Gharib kemudian mengemukakan hujah balas bahawa pernyataan Hazem secara keseluruhan masih boleh diterima untuk dijadikan bukti kerana sesuai dengan Bahagian 5, 6 dan 10 Akta Keterangan.

Najib kini dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana sebanyak RM2.28 bilion dari syarikat milik negara, 1MDB.

Bahagian yang dipetik daripada Akta Keterangan merujuk kepada penerimaan bukti dalam prosiding mahkamah.

“Pada akhirnya, yang perlu dibuktikan adalah tertuduh melakukan (dakwaan) perbuatan itu (yang terkandung dalam 25 tuduhan).

"Untuk menunjukkannya, kami (pihak pendakwaan) perlu memanggil semua saksi ini untuk memberi keterangan bagaimana tertuduh (yang didakwa) melakukan semua perkara yang disebutkan dalam tuduhan.

“Untuk melakukan itu, mereka (saksi seperti Hazem) harus menceritakan kisah mereka.

"Apa pun (bahagian) pernyataan saksi yang diketengahkan oleh pihak pembelaan, itu adalah cara mereka menceritakan kisah mereka," hujah Akram.

DPP berkata meskipun pihak pendakwaan tidak memanggil Jho Low, para saksi harus dibenarkan untuk menceritakan kisah mereka yang berkaitan dengan pertuduhan berkenaan.

Setelah hampir dua jam mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa mahkamah akan membuat keputusan mengenai permohonan itu petang esok ketika perbicaraan disambung semula.

Pada ketika ini, Akram memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan berusaha agar DPP Gopal Sri Ram mengemukakan hujah lanjut terhadap permohonan pihak pembelaan itu esok.

Difahamkan, Sri Ram tidak hadir dalam perbicaraan Najib hari ini kerana menghadiri kes lain.

Dilaporkan pada awalnya Hazem dijadualkan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-10, berikutan saksi pendakwaan kesembilan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi telah selesai memberi keterangan minggu lalu.

Bagaimanapun, oleh kerana mahkamah petang ini mendengar hujah mengenai permohonan pembelaan untuk membuang bahagian tertentu daripada keterangan bertulis Hazem, dia (Hazem) masih belum dapat berbuat demikian.