Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Gangguan air: 973 kawasan pulih setakat 12.30 tengah hari

Bekalan air di 973 kawasan atau 75.31 peratus daripada 1,292 kawasan terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang, pulih sepenuhnya setakat 12.30 tengah hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini, berkata baki 319 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Wilayah Hulu Selangor mencatat pemulihan 100 peratus diikuti Kuala Selangor 99.25 peratus, Petaling (92.43 peratus), Gombak (76.64 peratus), Kuala Lumpur (52.63 peratus), Kuala Langat (50 peratus) dan Klang/Shah Alam (38.42 peratus).

Beliau, bagaimanapun berkata terdapat 55 kawasan masih belum pulih walaupun tersenarai dalam kawasan kumpulan satu yang sepatutnya pulih sepenuhnya pada 12 tengah malam tadi.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan ini.

“Pengguna dinasihat supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor," katanya.

Gangguan bekalan air itu bermula sejak Khamis apabila Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas akibat pencemaran sumber air mentah.

Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan bekalan air itu.

-Bernama