Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB S'gor mesti tubuh pasukan petugas pencemaran air - MP Klang

Kerajaan Selangor digesa menubuhkan pasukan petugas untuk menangani isu- pencemaran sumber air di negeri ini.

Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago turut meminta kerajaan negeri lebih proaktif dengan memastikan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) memainkan peranan efektif dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang.

"Air adalah bidang kuasa persekutuan dan Jabatan Alam Sekitar berada di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air. Tetapi Selangor seharusnya proaktif dengan memastikan Luas mengambil peranan penguatkuasaan dan pemantauan yang berkesan, kerana gangguan air sering terjadi.

"Menteri Besar Amirudin Shari seharusnya meminta lebih banyak perbelanjaan, petugas dan logistik untuk memastikan tugas seperti itu dapat dilakukan," kata Santiago dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian susulan gangguan bekalan air yang dialami oleh hampir 1.2 juta pengguna di Lembah Klang, setelah empat loji rawatan air terpaksa ditutup akibat pencemaran yang dilepaskan ke Sungai Gong mengalir ke Sungai Selangor.

Pihak berkuasa sebelum ini mengesan sumber pencemaran dari sebuah kilang di Rawang, dan menahan empat lelaki untuk membantu siasatan.

Santiago berkata rakyat sudah muak dengan janji yang dibuat oleh kerajaan untuk memulihkan keadaan.

Mereka juga sudah tidak peduli mengenai janji untuk meminda undang-undang bagi memastikan tidak ada perusahaan atau kilang berani mencemarkan sumber air.

"Amirudin mesti menubuhkan pasukan petugas yang terdiri daripada pihak berkepentingan untuk mengenal pasti dan membuat pindaan undang-undang tertentu di Dun Selangor dalam 30 hari ke depan. Dan mengemukakan isu peraturan dengan kerajaan Persekutuan," jelasnya.

Katanya, tujuan utama pasukan petugas itu adalah untuk menghentikan pencemaran sungai dan sumber air, yang memerlukan kajian semula dasar dan peraturan sedia ada.

Beliau menambah pasukan itu juga harus mengenal pasti isu kelulusan,  perlesenan dan pemantauan, serta mengemukakan peraturan baru dan memperkuat badan pengawasan.

"Jika tidak kita akan terus menyalahkan satu sama lain sementara rakyat terus menghadapi gangguan bekalan air," katanya.