Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Saya dan isteri mohon maaf’

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memohon maaf atas “kekhilafan” selepas tular gambar penghantaran air ke rumahnya.

Katanya, gambar lori tangki Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd itu dimuat naik oleh isterinya Masdiana Muhammad bagi melahirkan rasa terima kasih kepada agensi itu yang yang membantu menghantar air ke kediamannya.

"Gambar ini telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyerang saya, bagaimanapun saya dan isteri memohon maaf," beliau dipetik sebagai berkata oleh Bernama.

Warga maya sebelum ini melepaskan geram dengan mendakwa terdapat orang kenamaan (VIP) mendapat layanan istimewa ketika negeri itu dilanda masalah bekalan air.

Amirudin Shari 

Beberapa tulisan Masdiana ditularkan, antaranya yang memaparkan tangki Air Selangor di depan rumahnya.

Terdapat juga tangkapan skrin dari Instagram Masdiana semalam yang menunjukkan anaknya berenang dalam kolam mandi dengan kapsyen “bila air takde”.

Menegaskan tiada niat untuk bermegah-megah, Masdiana menafikan lori tangki itu dihantar bagi memenuhkan kolam renang.

Dia juga memohon maaf atas "kekhilafan” dan berjanji akan membantu penduduk yang belum menerima bekalan air.

Jumaat lepas, empat loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas ekoran pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang.

Ia menyebabkan 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual.