Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jamal kembali dengan demo bertuala isu air di Selangor

Pemimpin akar umbi kontroversi Umno Jamal Mohamad Yunos kembali lagi dengan gimik menariknya, kali ini bagi menyatakan kekesalan terhadap masalah air di Selangor.

Sambil bertuala di tepi sungai, dia menyeru orang ramai hadir ke pejabat pentadbiran Selangor di Shah Alam pada Khamis ini bagi “menumpang mandi”.

Dia meminta peserta bantahan itu memakai tuala, menyelitkan berus gigi di telinga dan membawa gayung.

“Jom ramai-ramai kita bertuala untuk menyatakan protes terhadap kerajaan negeri, kegagalan menteri besar menyediakan perkhidmatan bekalan air yang terbaik untuk rakyat Negeri Selangor.

“Jom bersama-sama saya dengan memakai tuala, letak berus gigi di telinga dan bawa satu gayung sebagai tanda protes kepada kerajaan negeri tentang permasalahan yang berlarutan dan berulang-ulang kali ini, pada Khamis pukul 10 pagi.

“Jom kita bertuala ke SUK, Pejabat Menteri Besar untuk menumpang mandi di pejabat beliau. Ada berani?” soalnya.

 Tiga tahun lepas, Jamal hadir ke pejabat menteri besar di Shah Alam dengan bertuala (bawah) bagi menyatakan bantahannya terhadap masalah air yang berlaku di negeri itu.

Imej itu menjadi tular dan sentiasa dikongsi kembali warga maya setiap kali masalah air berulang di negeri itu.

Kerajaan Selangor ketika itu dipimpin oleh Azmin Ali.

Pemimpin gerakan Baju Merah itu kerap mencuri tumpuan dengan menganjurkan siri bantahan terhadap kerajaan negeri menerusi pelbagai aksi dan gimik.

Dia juga pernah mengusung keranda dan membawa katil serta mengadakan demo mengurut di depan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Jumaat lepas, empat loji rawatan air di Sungai Selangor terpaksa dihenti tugas ekoran berlakunya pencemaran bau di Sungai Gong, Rawang menyebabkan 1.2 juta pengguna di sekitar Lembah Klang menghadapi gangguan bekalan air tidak berjadual.