Mampukah 'populariti Covid-19' Muhyiddin beri kemenangan PRU15?
Penganalisis bersetuju bahawa penilaian prestasi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebahagiannya disebabkan oleh kejayaan negara dalam mengawal penularan pandemik Covid-19, dan menyifatakan ia bukan ukuran yang boleh secara langsung diterjemahkan sebagai sokongan pilihan raya.
Pakar geopolitik Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, berkata Singapura misalnya yang mana rakyatnya secara amnya bersetuju dengan pengurusan wabak Covid-19 oleh kerajaan, namun tetap hilang undi popular.
"Perlu berhati-hati apakah perasaan positif itu akan terbawa ke peti undi adalah sesuatu yang belum pasti.
"Jika dilihat keputusan PRU Singapura, kerajaan PAP dihukum dengan kehilangan undi popular mendekati 10 peratus, walaupun sebelum ini rakyat Singapura berpuas hati cara kerajaan mendepani pandemik," katannya.
Singapura mengadakan pilihan raya umum pada bulan Julai, yang menyaksikan PAP memperoleh 83 daripada 93 kerusi di Parlimen. Parti itu berkuasa sejak kemerdekaan republik itu pada tahun 1965, namun, undi popularnya turun menjadi 61 peratus berbanding 70 peratus pada pilihan raya umum (PRU) 2015.
Azmi berkata demikian mengulas tinjauan Merdeka Center yang mendapati 69 peratus berpuas hati dengan Muhyiddin. Tinjauan dilakukan antara 15 Julai dan 10 Ogos, melibatkan 3,415 responden.
Tinjauan itu juga mendapati gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Muhyiddin mendapat sambutan baik dalam kalangan pengundi.
Tak dipilih melalui pilihan raya
Sementara itu, Azmi berkata, walaupun kerajaan Muhyiddin tidak terpilih melalui pilihan raya, orang ramai menaruh kepercayaan kepadanya untuk mentadbir negara ketika wabak tersebut.
"Jika dibandingkan dengan jiran-jiran kita seperti Singapura dan Indonesia statistik jelas memberi tafsiran kerajaan cekap dan efisien berhadapan pandemik.
"Sebab itu juga buat pertama kali bila Muhyiddin umum PKP (perintah kawalan pergerakan) yang bermula 18 Mac lepas, rata-rata rakyat pada ketika itu agak panik tetapi menerima keputusan kerajaan yang tidak sampai sebulan ditubuhkan.
"Walaupun dituduh kerajaan pintu belakang tetapi majoriti rakyat menerima keputusan PKP dengan hati terbuka," katanya lagi.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada gabungan itu.
Presiden Bersatu kemudian membentuk kerajaan baru dengan pembelot PKR, BN, PAS, GPS, PBS dan Star.
Kabinet baru itu dibentuk pada 10 Mac. Setelah kes Covid-19 harian meningkat menjadi tiga angka pada 15 Mac, negara menguatkuasakan PKP pada 18 Mac.
Profesor Pengajian Asia Universiti Tasmania, James Chin mendakwa penilaian serupa diterima banyak negara terhadap pemimpin dalam menangani Covid-19.
"Kami melihat ini dalam tinjauan di banyak negara lain, di mana bahkan pemimpin yang tidak popular mendapat peningkatan dalam penilaian kerana langkah-langkah yang mereka ambil untuk menangani Covid-19.
"Anda mendapat lonjakan seperti ini di antara kepemimpinan semua negara kerana rakyat merasakan kehidupan mereka terganggu dan apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan, mereka menganggap itu adalah perkara yang baik," katanya kepada Malaysiakini.
Namun, Chin bersetuju dengan penemuan Merdeka Center bahawa orang Melayu pada umumnya menyokong kerajaan PN yang baru.
Kata Chin, masyarakat tidak senang dengan pentadbiran PH sebelumnya di mana mereka merasakan bahawa orang bukan Melayu mempunyai "terlalu banyak kuasa".
"Dengan kata lain, mereka tidak benar-benar menyokong kerajaan PH kerana menganggap mereka tidak menangani masalah Melayu.
"Jadi, pendapat saya ialah masyarakat Melayu mahukan pemerintahan yang berpusatkan Melayu, dan itulah yang mereka dapat," katanya.
Tinjauan menunjukkan majoriti responden (51 peratus) percaya bahawa negara ini bergerak di landasan yang betul, walaupun jumlahnya terus menurun dari tahun ke tahun, dengan rekod tertinggi 58 peratus pada bulan Mei.
Sementara itu, Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia mengingatkan agar tidak bergantung pada satu tinjauan sahaja.
"Kena banyak kajian diperlukan baru dapat tepat. Merdeka Centre juga (pernah) keluarkan kajian BN menang PRU14, tapi BN kalah.
"Politik Malaysia sangat 'fluid' dan dinamik, jadi sukar hanya ada satu atau dua kajian sahaja," katanya kepada Malaysiakini.
Azizuddin bagaimanapun setuju dengan kajian itu bahawa Muhyiddin popular dalam kalangan rakyat.
Muhyiddin dalam perkiraan untuk mengadakan pilihan raya mengejut bagi mendapat mandat baru ekoran majoriti tipis diperolehnya di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau mesti menghadapi cabaran pilihan raya di Sabah yang akan menjadi ujian sama ada Bersatu Muhyiddin dapat bekerjasma dengan rakan sekutunya Umno.
Muhyiddin ingin mengelak pertembungan dengan Umno yang boleh membawa kesan buruk kepada partinya.
Hari penamaan calon untuk pilihan raya Sabah ditetapkan 12 September ini, manakala hari pengundian adalah pada 26 September.
Pilihan raya negeri Sabah diadakan setelah Ketua Menteri Shafie Apdal mengumumkan pembubaran dewan undangan negeri untuk mengelak rampasan kuasa yang dipimpin oleh Musa Aman dengan sokongan dari Bersatu Muhyiddin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai