Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Samka minta pekebun durian tuntut semula wang dah dibayar

Sekumpulan pekebun durian di Raub menuntut Royal Pahang Durian Resources (RPDR) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) mengembalikan semula wang yang dibayar untuk "mengesahkan" ladang mereka sebelum ini.

Pekebun terbabit dikatakan kesal dengan dakwaan RPDR-PKPP kononnya ada 300 petani komited untuk membuat skim pengesahan berkenaan dengan 133 orang telah membuat bayaran sehingga RM10,000. 

Justeru Save Musang King Alliance (Samka) - organisasi yang ditubuhkan oleh petani untuk memprotes skim itu - meminta petani terbabit untuk menuntut kembali wang mereka.

Samka berkata, RPDR berjanji untuk memproses dan memulangkan kembali wang tersebut dalam tempoh lima hari bekerja.

"Lebih daripada 20 petani menuntut pengembalian bayaran permit masuk dengan masing-masing menerima RM2,000 hingga RM10,000," kata organisasi itu dalam satu kenyataan.

Isu berkenaan kelihatan menunjukkan berlaku kekeliruan di antara pekebun dan RPDR dengan yang pertama menganggap pembayaran dibuat sebagai "izin masuk" ke ladang mereka, sementara syarikat terbabit merujuknya sebagai "wang pendahuluan" untuk skim pengesahan.

Pertikaian timbul apabila PKPP dan Royal Pahang RPDR mengadakan usaha sama dan kini menuntut kembali ribuan ekar tanah daripada petani yang meneroka tanah berkenaansecara haram.

Sebilangannya memang petani tanpa lesen, manakala selebihnya adalah sebahagian daripada peserta skim pertanian yang dilancarkan oleh Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) sebelum kewujudan PKPP pada tahun 1970-an, namun kemudiannya diabaikan.

Pekebun durian mendakwa mereka sekarang dipaksa memasuki "skim pengesahan" oleh RPDR-PKPP. 

Samka mendakwa RPDR cuba mengelirukan orang ramai mengenai tahap penerimaan petani terhadap skim pengesahan yang dijalankan mereka.

"Samka akan meneruskan tindakan ini dan mendesak petani yang belum menuntut bayaran balik untuk melakukan hal tersebut," katanya.

Ia juga mendakwa beberapa petani dipaksa untuk melakukan pembayaran setelah kononnya menerima pemberitahuan dari pejabat tanah yang menyatakan mereka dibenarkan terus bekerja di ladang masing-masing.

Justeru Samka mendesak RPDR-PKPP menarik balik tuntutannya terhadap sekurang-kurangnya 300 pekebun terbabit.

[Baca berita asal]