Runding terus wajar tapi perlukan integriti - Akhbar Satar
Pemberian sebarang projek secara rundingan terus (RT) adalah wajar tetapi ia perlu dilakukan dengan penuh integriti.
Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia (MACFE) Akhbar Satar, berkata ia bagi memastikan projek diberikan kepada kontraktor berwibawa dan tidak membawa kerugian kepada negara.
"...kadangkala kita memerlukan sistem yang ringkas, tetapi handler iaitu jawatankuasa teknikal dan juga jawatankuasa kewangan dan lembaga perlu terdiri daripada orang yang mempunyai integriti.
"Ini untuk memastikan ia dijalankan dengan lebih telus, diberikan kepada kontraktor yang berwibawa dan bernilai untuk wang," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara bertajuk Runding Terus: Wajar atau Tidak? terbitan Bernama TV di Kuala Lumpur malam tadi.
Akhbar juga berkata sebarang projek RT perlu memenuhi kriteria tertentu dan bukan boleh dilakukan dengan sesuka hati.
Ia katanya termasuk sesuatu yang mungkin perlu dilakukan demi kepentingan negara, kecemasan atau jika tidak dilakukan, ia akan memudaratkan sesuatu perkhidmatan.
Beliau memberikan contoh Amerika Syarikat yang terpaksa mengeluarkan beberapa projek RT ketika kejadian bencana taufan Katrina bagi memenuhi keperluan kecemasan ketika itu.
Akhbar berkata kelemahan RT yang biasa berlaku di negara ini dan negara membangun ialah apabila dicemari dengan krisis integriti kerana diberikan untuk mendapat keuntungan lebih dan diberikan kepada kroni.
"Sebenarnya jika masyarakat kita ada integriti, apa-apa sistem pun tidak apa.
"Isunya sekarang kenapa ada tender terbuka dan RT ini, kerana ada manusia-manusia tamak, sebab ada penipu, ada orang-orang yang fraud nak pusing dan melakukan penyelewengan.
"Di Malaysia, di negara-negara membangun, kita dapati ahli-ahli politik dan pegawai kerajaan korup.
"Mereka ini kreatif, jika ada arahan baru, mereka akan cari jalan agar pemberian tender itu akan memberi keuntungan kepada diri sendiri," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai