Mesej palsu dakwa loji Selangor operasi semula
Mesej yang tersebar luas mengatakan empat loji rawatan air di Selangor telah beroperasi semula adalah palsu.
Dalam satu kenyataan, Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) menafikan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1, 2, dan 3 dan Rantau Panjang akan beroperasi semula pada jam 8 malam hari ini.
"Luas menegaskan bahawa maklumat yang tersebar itu adalah palsu.
"Dalam mesej yang tular itu memaklumkan bahawa pencemaran yang berlaku di kawasan Sungai Gong telah selesai sepenuhnya.
"Tindakan penyebaran mesej palsu itu mengelirukan orang awam memandangkan insiden pencemaran ini telah memberi kesan dari segi gangguan bekalan air kepada pengguna," kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut sebarang mesej mengenai hasil pemantauan pencemaran bau Luas yang tidak disertakan pemberitahuan rasmi pihak berkuasa adalah tidak benar.
Sebelumnya, mesej sedemikian dikongsikan secara meluas termasuk di laman Facebook Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man dan Adun Perlabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.
Mesej tersebut memetik kononnya hasil pengambilan sampel air yang diambil petang tadi di tiga lokasi di sepanjang Sungai Gong, serta saluran masuk air di loji rawatan air Rantau Panjang.
Ia mendakwa keempat-empat sampel berkenaan tidak mempunyai tahap pencemaran bau yang dapat dikesan, dengan bilangan bau (ukuran TON) adalah sifar.
Dalam kenyataan berasingan, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, masih belum beroperasi semula.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, ujian persampelan yang dijalankan di muka sauk sehingga 8.30 malam ini, masih mengesan pencemaran pada tahap satu ton.
“LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap sifar ton.
“Air Selangor menasihatkan para pengguna untuk mendapatkan maklumat rasmi melalui hebahan rasmi atau saluran-saluran interaksi Air Selangor, dan tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung gangguan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai