Belum tentu masa Indira dapat disatukan dengan anaknya - Bukit Aman
Polis masih belum dapat menentukan bila bekas guru tadika M Indira Gandhi akan dapat disatukan dengan anak perempuannya Prasana Diksa, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.
Huzir yang mengetuai pasukan khas untuk mengesan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan anak perempuan mereka itu, berkata demikian kepada Bernama semasa ditanya mengenai berita yang menyatakan wanita itu berharap dapat disatukan dengan anak perempuannya itu menjelang Deepavali tahun ini.
"Beliau yang memberikan sasaran sehingga Deepavali, (tetapi) kami tidak memberikan sasaran itu kepadanya. Kami telah mengadakan perjumpaan dengannya (Indira) dan beliau berpuas hati, jadi kami akan berusaha menyelesaikan isu ini," katanya.
Awal hari ini, Indira, peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Datuk Ambiga Sreenevasan, serta Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy tiba di ibu pejabat polis persekutuan itu untuk mengadakan perjumpaan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Bagaimanapun, Indira kemudiannya memaklumkan kepada pemberita yang Abdul Hamid tidak hadir pada perjumpaan itu kerana perlu menghadiri mesyuarat penting di lokasi lain dan diwakili Huzir.
Wanita itu berkata mesyuarat itu berhasil dan mereka bersedia bekerjasama dengan polis berhubung perkara itu.
"Kami dimaklumkan pasukan khas itu telah ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19 dan kami faham ...mereka (polis) turut memaklumkan kepada kami dapatan dan cabaran dihadapi pasukan khas itu setakat ini.
"Kami berharap kami dapat bekerjasama dengan polis, mengadakan lebih banyak perjumpaan untuk bertukar-tukar maklumat dan seterusnya dapat bersatu dengan anak saya, diharapkan menjelang Deepavali (13 Nov) tahun ini," katanya.
Indira juga berkata Prasana akan berusia 12 tahun pada tahun ini dan memerlukan bimbingan dan penjagaan seorang ibu untuk memasuki alam remaja.
Muhammad Riduan melarikan diri dengan anaknya Prasana pada 2009 ketika dia berumur 11 bulan, selepas memeluk agama Islam.
Pada 2016, Mahkamah Persekutuan memerintahkan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap Muhammad Riduan dan memastikannya mematuhi perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh dua tahun sebelum itu untuk menyerahkan Prasana kepada ibunya.
Pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira termasuk Prasana adalah terbatal dan tidak sah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai