Rafidah: Salah kata curi tak salah sebab tak ditangkap
Pemutus rantaian rasuah nasional diperlukan untuk menghentikan amalan rasuah daripada menjadi kebiasaan, kata veteran politik Tan Sri Rafidah Aziz.
Pemutus rantaian adalah gabungan pelbagai faktor termasuk pemahaman yang luas mengenai rasuah dan proses pendidikan, menjalin budaya antirasuah serta menghukum mereka yang terlibat dalam rasuah, katanya.
"Jika semua ini ada, ia akan memperlahankannya dalam waktu yang lebih singkat dan menjadi luar kebiasaan, bermakna jarang sekali berlaku, bukan budaya.
"Kebimbangan utama kita seharusnya, setelah menjadi budaya, norma di mana semua orang melakukan dan memperakuinya," kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.
Bercakap pada ‘Dialog Kepimpinan: Ke Mana Hala Tuju Malaysia’ di Forum Antirasuah Malaysia kedua di Putrajaya hari ini, Rafidah berkata memerangi rasuah perlu menjadi usaha kolektif yang melibatkan semua orang kerana ancaman itu telah meluas.
"Membasmi rasuah perlu ada kefahaman tentang apa yang betul dan salah. Contoh ada yang kata selagi belum ditangkap polis maka curi itu tidak salah. Itu tidak betul.
"Macam rasuah, kalau dah ambil rasuah dalam apa bentuk apa pun, dalam undang-undang rasuah itu salah. Menerima salah, memberi salah tapi tidak kena tangkap," katanya.
Bagi mendidik orang ramai, beliau berkata rasuah mesti dianggap sebagai suatu perbuatan jijik, memalukan, tidak dapat dimaafkan, berdosa dan mesti ditolak.
"Kalau ada kefahaman itu, saya rasa lebih mudah kita banteras (rasuah) kerana anak muda, anak cucu kita faham bila dia besar akan ingat usaha hendak didahulukan bukan menerima wang dengan cara mudah. Ini semua soal nilai," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai