Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Najib dapat keuntungan dari transaksi dikaitkan 1MDB - Bekas CEO

Bekas perdana menteri, Najib Razak adalah antara mereka yang mendapat keuntungan daripada konspirasi yang didakwa melibatkan pemindahan berbilion ringgit yang berkaitan dengan 1MDB, demikian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi ketika memberi keterangan berkata Najib, di samping ahli perniagaan yang dikehendaki Low Taek Jho atau Jho Low, dan beberapa individu lain mendapat keuntungan daripada pemindahan wang yang menjadi asas kepada 25 pertuduhan terhadapnya.

Najib dibicarakan atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sebanyak RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Shahrol yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan memberi keterangan semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwaraya, DPP Gopal Sri Ram semasa perbicaraan hari ini.

Sri Ram bertanya kepada Shahrol (gambar, bawah) mengenai siapa yang mendapat keuntungan daripada dakwaan konspirasi tersebut.

Sepanjang pemeriksaan balas oleh pasukan pembelaan Najib, Shahrol diasak tentang sama ada saksi itu mendapat keuntungan dan merupakan sebahagian daripada konspirasi yang didakwa.

Sri Ram: Dari pengamatan, siapa yang mendapat keuntungan daripada urus niaga ini?

Shahrol: Berdasarkan pengamatan, berdasarkan dokumen di mahkamah dan semasa siasatan, penerima ialah Jho Low, Casey (Teng), Jasmine (Loo), Tarek Obaid, Khadem (Al-Qubaisi), Patrick (Mahoney), (Mohamed Badawy) Al-Husseiny, begitu juga Najib,” kata Shahrol kepada mahkamah.

Teng ialah bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB manakala Loo ialah bekas penasihat umum 1MDB.

Sementara itu Tarek sebelumnya ialah pengarah Petrosaudi International Limited (PSI) dan Khadem merupakan eksekutif Aabar, anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Mahoney pula dikaitkan dengan IPIC dan Mohamed Badawy ialah Ketua Pegawai Eksekutif Aabar.

Selain Jho Low dan Najib, individu lain yang dinamakan ini dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB.

Ketika Sri Ram bertanya adakah Shahrol mendapat keuntungan daripada transaksi yang perkatakan itu, saksi itu menjawab dia tidak menerima wang daripada keseluruhan skandal tersebut.

Shahrol menafikan ini ketika ditanya Sri Ram mengenai beberapa transaksi berkaitan 1MDB di mana pihak pembelaan sebelumnya membayangkan saksi berkenaan didakwa menjadi sebahagian konspirasi dengan Jho Low dan beberapa yang lain.

Antaranya, transaksi berkaitan dengan dakwaan pengalihan dana AS$700 juta dari 1MDB ke Good Star Limited, yang didakwa dimiliki oleh Jho Low.

Dilaporkan bahawa AS$700 itu sebahagian daripada pelaburan 1MDB bernilai AS$1.83 bilion yang bertujuan untuk syarikat usaha sama dengan PSI.

Sri Ram: Mengenai (pemindahan) AS$ 700 juta ke Good Star, adakah kamu mendapat satu sen pun?

Shahrol: Tidak

Apabila Sri Ram bertanya apa peranan yang dimainkan Jho Low ketika menyampaikan poin perbincangan berkaitan 1MDB kepada Shahrol dari tahun 2009 hingga 2013, saksi itu berkata Low menyampaikan maklumat dan arahan daripada Najib kepada saksi berkenaan membabitkan urusan perniagaan syarikat pelaburan negara itu.

Low bagi 100 tajuk perbincangan mengenai 1MDB pada CEO

Berkenaan soalan mengapa Shahrol tidak berusaha untuk membuat pengesahan dengan Najib mengenai kebenaran tajuk perbincangan berkenaan, saksi berkata ia kerana tindakan tertuduh adalah konsisten dengan dakwaan bahawa tajuk perbincangan oleh Jho Low dikaitkan dengan tertuduh.

"Pada masa itu dan sejak awal penubuhan 1MDB, semua arahan dan perincian yang terdapat di dalam tajuk perbicangan tersebut sama ada konsisten dengan tindakan atau tindakan selanjutnya daripada pemegang saham," kata Shahrol.

Najib ketika itu ialah menteri kewangan dan ketua lembaga penasihat 1MDB. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).

Awal hari ini semasa pemeriksaan balas terakhir pembelaan, Shahrol memberi keterangan bahawa Jho Low telah memberikan lebih daripada 100 tajuk perbincangan kepadanya ketika saksi itu berkhidmat di 1MDB dari 2009 hingga 2016.

Shahrol ialah ketua pegawai eksekutif 1MDB dari 2009 hingga Mac 2013 dan kekal dalam lembaga pengarah syarikat pelaburan negara itu sehingga 2016.

Beliau menjawab soalan daripada peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah mengenai berapa banyak tajuk perbincangan yang dihantar oleh Jho Low kepada Shahrol.

Semalam, Shahrol memberitahu mahkamah Jho Low memberikan banyak tajuk-tajuk perbincnagan 1MDB kepadanya walaupun selepas beliau meletak jawatan sebagai CEO 1MDB pada Mac 2013.

Shahrol hari ini juga memberitahu dia memberi keterangan di mahkamah atas dasar prinsip "berani kerana benar."

Saksi itu menjawab soalan Shafee mengenai mengapa saksi itu kelihatan yakin tidak menjadi individu seterusnya yang akan didakwa berkaitan dengan hal ehwal 1MDB.

Shafee merujuk Shahrol terhadap beberapa individu berkaitan dengan 1MDB seperti Jho Low dan Loo yang telah dituduh tanpa kehadiran mereka di mahkamah Malaysia berhubung dengan skandal 1MDB.

Shafee: Kamu kelihatan yakin bahawa kamu tidak akan menjadi (tertuduh) yang seterusnya.

Shahrol: Kami memiliki pepatah Melayu mengenai "berani kerana benar."

Shafee juga menyoal saksi jika dia telah berunding dengan pendakwa untuk tidak didakwa dan sebagai balasannya bahawa dia (Shahrol) memberi keterangan terhadap Najib.

Bagaimanapun Shahrol tidak setuju dengan apa yang dicadangkan peguam itu.

Pada akhir prosiding hari ini, peguam bela Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed memohon agar pembelaan diizinkan untuk meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shahrol walaupun pihak pendakwaan telah menyelesaikan pemeriksaan semula saksi itu.

Di bawah undang-undang berkenaan dengan keterangan saksi dalam perbicaraan jenayah, pihak pendakwaan akan melakukan pemeriksaan utama terhadap saksi, kemudian pihak pembelaan melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi, dan selepas itu pihak pendakwaan akan mengakhiri proses pemeriksaan dengan pemeriksaan ulang terhadap saksi. 

Wan Aizuddin memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah hari ini bahawa permohonan itu dibuat kerana masalah baru dibangkitkan semasa pemeriksaan semula pendakwaan yang tidak disentuh oleh pihak pembelaan ketika pemeriksaan balas.

Peguam itu menyebut antara isu-isu itu adalah carta aliran wang yang didakwa menunjukkan aliran wang sebanyak AS$ 681 juta mengalir ke akaun AmBank dengan nombor akaun 694, yang didakwa dilakukan dengan cara untuk membabitkan keterlibatan Najib.

Sebelum ini dilaporkan bahawa akaun 694 adalah milik Najib.

Bagaimanapun, Sequerah kemudian memberitahu pihak pembelaan bahawa mereka dapat membuat permohonan itu nanti kerana pengadilan lebih suka melepaskan Shahrol dari kandang saksi dan meneruskan prosidin terhadap saksi pendakwaan berikutnya.

Hakim berkata Shahrol akan ditarik balik untuk tujuan pemeriksaan balas oleh pembelaan Najib nanti.

Setelah Shahrol dilepaskan dari kandang saksi, Sri Ram memberitahu mahkamah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman akan menjadi saksi pendakwaan seterusnya untuk memberi keterangan ketika perbicaraan disambung minggu depan.

Perbicaraan kemudian ditangguhkan untuk hari ini dan akan disambung pada hari Isnin minggu depan, dengan Hazem bersedia untuk menjadi saksi pendakwaan ke-10.

Hazem mengambil alih jawatan CEO 1MDB daripada Shahrol, yang meletak jawatan pada bulan Mac 2013. Hazem kekal sebagai CEO sehingga 2015.

[Baca berita penuh]