Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Indira harap dapat jumpa anak sebelum Deepavali

Selepas mengadakan pertemuan dengan polis di Bukit Aman hari ini, M Indira Gandhi berharap dia dapat bertemu dengan anak perempuannya, Prasana Diksa, sebelum sambutan Deepavali tahun ini.

Indira dan wakil Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) bertemu dengan pegawai Bukit Aman selama kira-kira sejam pagi tadi. Awalnya mereka dijadual bertemu Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Bagaimanapun, peguam Indira, S Ambiga, memberitahu Abdul Hamid tidak dapat hadir kerana terpaksa menghadiri mesyuarat lain.

Menurut Indira, isu yang dihadapinya ketika ini tidak ada kaitan dengan agama sebaliknya dia - sebagai ibu - hanya mahu menemui anaknya.

"Jika dia memilih menganut Islam, itu isu lain. Saya tak ada masalah jika dia menganut Islam.

"Saya nak jumpa dia, nak peluk dia. Itulah tujuan saya mencari Prasana. Harap-harap dia kembali sebelum Deepavali.

"Sudah 11 tahun (kami tak berjumpa)," katanya kepada media di luar Bukit Aman hari ini.

Selain Indira dan Ambiga, turut hadir Pengerusi Ingat, Arun Dorasamy dan peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal.

Sedia beri kerjasama

Sementara itu Ambiga berkata pertemuan dengan pegawai polis sebelum itu berlangsung dengan baik dan mereka diberi taklimat mengenai kes tersebut.

Kata Ambiga siasatan terganggu ekoran Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan kesan daripada wabak tersebut.

"Kami sampaikan kebimbangan kami... bahawa Prasana sekarang sudah berusia 12 tahun dan dia patut bersama ibunya.

"Kami sangat bimbang dengan kesan psikologi Prasana," katanya.

Menurut peguam kanan itu lagi mereka juga diberitahu mengenai butiran anggota polis yang menyiasat kes tersebut dan akan mengadakan perjumpaan selepas ini.

S Ambiga

Katanya mereka menegaskan harapan agar kanak-kanak berkenaan dapat bersama dengan ibunya semasa perayaan Deepavali nanti.

"Ini tak ada kaitan dengan agama. Ia adalah harapan seorang ibu yang mahukan anak perempuannya semula," katanya.

Ditanya sama ada polis ada berjanji untuk mempertemukan Prasana sebelum perayaan berkenaan, Ambiga berkata, tiada ikrar disebutkan namun pihak berkuasa terbabit sangat membantu.

"Bukan mudah berjanji tetapi mereka memberikan kerjasama penuh... ia perlu diselesaikan," katanya.

Tambah Ambiga, ketika ini mereka mempunyai pilihan untuk mengambil tindakan perundangan tetapi enggan bertindak sedemikian sebaliknya mahu bekerjasama dengan polis.

Abdul Hamid sendiri, katanya, sudah memberi penegasan bahawa matlamatnya ialah mengembalikan kanak-kanak terbabit.

Sementara itu Arun berkata Ingat sedia memberikan komitmen penuh dengan polis dalam usaha mempertemukan Prasana dengan Indira.

"Kami sedia bekerjasama dengan polis. Kami bersedia memulakan babak baru. Tarikh akhir kami sekarang ialah Deepavali. Kami akan bekerjasama 101 peratus dengan polis," katanya.

[Baca berita penuh]