Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KDN semak semula sekatan buku selama 42 tahun

Sekatan yang dikenakan ke atas buku The Golden Son of the Kadazan sejak 42 tahun lalu kini dalam proses semakan semula, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam jawapan bertulis terhadap soalan oleh Darell Leiking (Warisan-Penampang) pada 25 Ogos, KDN berkata, biografi ahli politik Sabah Peter Mojuntin itu dikenakan tindakan Perintah Larangan di bawah Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Tegahan Mengenai Penerbitan) mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 pada 19 Jun 1978 kerana memudaratkan kepentingan negara serta keselamatan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, kementerian telah mengambil inisiatif membuat kajian dan penelitian semula terhadap penerbitan tersebut serta meneliti setiap aspek dari sudut keselamatan dan undang-undang selain turut melibatkan pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan sebelum sebarang keputusan mengenainya dapat diputuskan,” kata KDN.

Buku itu ditulis oleh bekas Adun Bandar Hilir Bernard Sta Maria mengenai kisah hidup tokoh politik Kadazan itu yang terkorban dalam kemalangan kapal terbang pada 6 Jun 1976, yang turut meragut nyawa ketua menteri Fuad Stephens.

Mojuntin, yang merupakan menteri pentadbiran perbandaran dalam kerajaan Berjaya diketuai Stephens, terkenal kerana mempertahankan hak kaum Kadazan dan kebebasan beragama.

Buku Sta Maria itu dipercayai disekat kerana memberikan gambaran tidak elok buat bekas ketua menteri Sabah Mustapha Datu Harun dan gambaran ketegangan agama antara penganut Kristian dan Muslim di negeri itu.

Untuk rekod, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah pun dihapuskan.

Sebuah tugu besar dibina bagi memperingati Mojuntin di Donggongon, Penampang, yang turut menempatkan sebuah sekolah menengah sebagai tanda penghormatan buatnya - SMK Datuk Peter Mojuntin.