Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Norma baru Dewan Negara

ULASAN | Sidang Dewan Rakyat baru sahaja berakhir pada 27 Ogos 2020, selepas empat minggu bersidang.

Pelbagai isu, perbahasan dan kritikan di Dewan Rakyat yang mendapat perhatian awam. Buat pertama kali di parlimen, rakyat dapat melihat sebuah kerajaan minoriti seperti Perikatan Nasional (PN) cukup goyah dengan bilangan sokongan yang terlalu kecil.

Dewan Negara pula akan bersidang buat pertama kalinya, selepas Langkah Sheraton pada 2 September 2020. Persidangan kali ini memperuntukkan 13 hari kepada Ahli Dewan Negara (senator) untuk menyemak dan mengimbangi segala prestasi dasar kerajaan yang dahulunya telah dibahaskan oleh Dewan Negara.

Persidangan hari pertama Dewan Negara dihangatkan dengan pemilihan Yang Di-Pertua (YDP) Dewan Negara, yang dipertandingkan buat julung kalinya dalam sejarah perjalanan Dewan Negara.

Sejak beberapa dekad yang lalu, jawatan YDP Dewan Negara atau dikenali sebagai presiden dipilih dalam kalangan mereka yang menyokong parti pemerintah dan ia tidak dipertandingkan.

Dr Rais Yatim, yang telah dicadangkan oleh PN, telah dipilih sebagai YDP baru dengan 45 undi berbanding Yusmadi Yusoff daripada Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 19 undi.

Peristiwa ini adalah satu ‘norma baru’ dalam perkembangan sidang Dewan Negara. Cabaran daripada senator PH ini telah memberi saingan kepada Rais Yatim sebenarnya dapat merancakkan budaya demokratik dalam Dewan Negara yang selama ini dianggap lemah dan dilihat sebagai institusi ‘rubber stamp’.

Tidak perlu politik kepartian dalam Dewan Negara?

Beberapa senator telah memberi harapan dan desakan agar YDP menjalankan tugasnya dengan pendekatan baru. Ini juga sebahagian daripada ucapan Rais Yatim untuk membawa nilai baru di Dewan Negara dan tidak membawa budaya ‘politik kepartian’ seperti Dewan Rakyat.

Namun, YDP dilihat gagal melaksanakan kata-katanya apabila beliau masih lagi menjawat jawatan dalam parti sebagai Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Sembilan dan Ketua Bahagian Jelebu.

Rais Yatim menyatakan perkara ini tidak relevan memandangkan bekas YDP sebelumnya, SA Vigneswaran merupakan presiden MIC ketika berkhidmat.

Rais Yatim sebenarnya mempunyai peluang untuk membuat ‘precedent’ atau duluan baru bagi memastikan kebebasan jawatan YDP daripada pengaruh parti politik. Malangnya, beliau masih meneruskan amalan lama Dewan Negara.

Hujah YDP untuk tidak membawa politik kepartian agak tempang apabila majoriti ahli Dewan Negara hari ini terdiri daripada ahli parti politik, sama ada PN atau PH.

Jika melihat kepada komposisi Dewan Negara yang terkini, terdapat seramai 66 orang senator, 43 senator menyokong kerajaan PN, Pakatan Harapan (19), Gerakan (2).

Malaysian Advancement Party (MAP), Pejuang, Warisan, UPKO dan Wakil Orang Kurang Upaya (OKU) masiang-masing mempunyai seorang Senator.

Bersatu mempunyai hampir 10 senator dan Umno mempunyai 11 Senator. DAP mempunyai tujuh senator dan PKR mempunyai enam senator dalam PH.

Maka, hujah Rais Yatim untuk tidak mahu membawa politik kepartian tidak mencerminkan realiti sebenar Dewan Negara. Persoalannya, bukan kerana sisi negatif politik berdasarkan parti, tetapi, sejauh manakah senator mewakili parti politik ini mampu membawa nilai yang baik di Dewan Negara?

Mengubah dinamik Dewan Negara

Menarik juga apabila Rais Yatim turut menegur beberapa senator yang membaca teks ketika menyampaikan ucapan perbahasan Titah Diraja, iaitu selari dengan Peraturan Mesyuarat 34 (6) Dewan Negara.

Ini satu penambahbaikan yang positif. Diharapkan juga agar YDP baru dapat menegur menteri-menteri yang menggunakan teks ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja yang dijadulakan pada 10 September 2020.

Komitmen Rais Yatim untuk mengembalikan Akta Perkhidmatann Parlimen 1963 dan meneruskan Kaukus menambah baik Dewan Negara wajar dipandang serius oleh Senator dan rakyat.

Konsep memperkasakan institusi parlimen daripada dominasi jemaah menteri perlu ditegakkan. Namun, YDP baru ini perlu menterjemahkan komitmen ini agar ia benar-benar direalisasikan, khususnya memastikan YPDN bebas daripada pengaruh politik kepartian dan bersikap adil kepada Senator tanpa mengira parti politik.

Hakikatnya, persidang kali ini akan sedkit-sebanyak mengubah dinamik Dewan Negara, menuju ke arah institusi yang berfungsi dengan baik. Persaingan dalam pemilihan YPDN ini satu anjakan paradigma untuk memulihkan fungsi Dewan Negara yang bertahun-tahun dilihat lemah oleh rakyat. Momentum perubahan ini perlu giat dilaksanakan oleh YDP baru.

Rakyat juga mempunyai peranan dalam mendesak ahli Dewan Negara menjalankan tugas dengan amanah dan benar-benar membawa aspirasi rakyat. Sikap peduli rakyat tentang urusan Dewan Negara juga akan membantu institusi ini berkembang lebih luas dan efektif.

Jika persidangan Dewan Negara kali ini mengalami perubahan yang signifikan, tentunya ia akan memberi ruang untuk membina kesedaran rakyat akan fungsi Dewan Negara yang sebenar. Jika ia masih sama, maka peranan Dewan Negara akan terus dipinggirkan dalam proses membuat dasar dan undang-undang negara pada masa hadapan.


FAKHRURRAZI RASHID merupakan penyelaras penyelidik Research for Social Advancement (Refsa).

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semstinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.