Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pegawai polis tak pasti aktiviti keagamaan Joshua dan isteri

Pegawai polis yang menyiasat kes kehilangan paderi Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini bahawa beliau tidak pasti berhubung aktiviti keagamaan pasangan suami dan isteri tersebut.

ASP Shafiee Marsidi yang merupakan saksi ke-11 dalam siasatan awam berkenaan kes kehilangan Joshua dan isterinya pada November 2016 berkata bahawa beliau tidak pasti mengenai aktiviti keagamaan suami dan isterinya.

"Saya tidak pasti aktiviti keagamaan suami dan isterinya.

"Saya cuma dapat maklumat orang ini (Joshua) sebagai orang Islam tukar kepada Kristian dan dipanggil sebagai paderi," kata Shafie di ibu pejabat Suhakam, Menara TH Perdana, Kuala Lumpur, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika membalas soalan pesuruhjaya Hishamuddin Yunus bahawa adakah Shafie mempunyai maklumat mengenai dakwaan Joshua dan isterinya membuat aktitivit keagamaan iaitu memurtadkan orang Islam menjadi Kristian.

Sebaliknya, Shafie berkata bahawa beliau hanya diberitahu oleh seorang rakan polis bahawa Joshua juga disiasat di bawah Akta Hasutan.

Bagaimanapun, Shafie mengakui bahawa beliau tidak membuat siasatan untuk mengetahui lanjut mengenai aktiviti keagamaan mereka.

Beliau turut mengesahkan bahawa tidak terlintas dalam fikiran bahawa Joshua dan isterinya mungkin hilang atau diculik kerana dakwaan memurtadkan orang Islam menjadi Kristian.

Untuk rekod, inkuiri itu bertujuan untuk memastikan sekiranya Joshua dan Ruth menjadi mangsa kehilangan secara paksa.

Kali terakhir mereka dilihat pada 30 Nov 2016, dan hanya dilaporkan hilang pada 6 Mac 2017.

Dalam pada itu, Shafie yang menyiasat kes ini sejak Mac 2017 hingga Disember 2017 sebelum ditukar ke Maktab Polis Cheras bahawa beliau juga tidak tahu bahawa Ruth seorang warga Indonesia.

"Saya tidak tahu," katanya ketika ditanya apakah beliau mengetahui bahawa Ruth seorang warga Indonesia.

Ruth berasal dari sebuah kampung nelayan Nambiki di Sumatera Utara, Indonesia.

Siasatan dipengerusikan oleh Hishamuddin dan dibantu oleh pesuruhjaya Jerald Joseph dan Madeline Berma disambung semula petang.