Isu Injil bukti PAS, PN tak sesuai terajui masyarakat majmuk - Aziz Bari
Kenyataan kontroversi Anggota Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kitab Injil adalah bukti PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak sesuai menerajui masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.
Ketua pembangkang Perak, Abdul Aziz Bari berkata, kenyataan tidak sensitif oleh Zawawi itu merupakan satu manifestasi pendekatan rasis dalam parti PN, Muafakat Nasional mahupun BN.
Kata Adun Tebing Tinggi itu, ia juga menjadi petanda bahawa PAS gagal menanggapi konsep dakwah dan kepentingan hikmah yang dianjurkan oleh Islam, selain bukti PN tiada hala tuju yang jelas tentang hubungan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Kenyataan itu jelas meletakkan parti-parti rakan mereka di Sabah dan Sarawak terkedu dan serba salah. Begitu juga dengan parti-parti rakan mereka di semenanjung.
“Kontroversi yang timbul dari komen yang cuai ahli parlimen PAS itu adalah satu lagi bukti betapa PAS khususnya dan Perikatan Nasional amnya tidak sesuai menerajui masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 26 Ogos, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Zawawi berkata tidak ada agama yang membenarkan penganutnya meminum arak.
Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) kemudian mencelah dengan mengatakan kenyataan itu tidak tepat dan meminta Zawawi memperbetulkan kenyataannya.
“Saya minta Yang Berhormat Beruas supaya dia mengkaji betul- betul fakta-fakta agama yang ada termasuk kalau dalam agama Kristian yakni fakta sebelum daripada Kitab Injil ini dipesongkan ataupun diubah.
Bagaimanapun Zawawi mempertahankan pendapat tersebut.
“Sebenarnya, asal agama yang diturunkan termasuk agama Masihi yang dibawa oleh Nabi Allah, Isa a.s. mengharamkan apa jua bentuk arak termasuk minum yang sedikit. Yang disebut dalam kitab ini - ini bidang saya. Saya sebut ini bidang saya,” balas Zawawi.
Ketika dihubungi, Zawai bagaimanapun menyatakan kesediaannya untuk berdialog secara harmoni dengan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengannya, dan disiarkan secara terbuka melalui media massa atau pun melalui televisyen.
Persatuan Gereja di Sarawak menggesa Zawawi memohon maaf dan menarik semula kenyataannya itu yang dikatakan melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 yang menjamin hak kebebasan beragama.
Zawawi bagaimanapun berasakan tiada sebab untuknya meminta maaf, dan berkata tiada pihak yang seharusnya tersinggung dengan kenyataannya itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai