Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Kenyataan hina Injil tak pernah terjadi ketika PAS diterajui Nik Aziz'

Setiausaha DAP Lim Guan Eng berkata kontroversi berhubung kenyataan ahli parlimen PAS berkenaan kitab Injil tidak akan terjadi di bawah pimpinan Almarhum Nik Aziz Nik Mat.

Lim berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh tentang kitab Injil ketika membahaskan rang undang-undang (RUU) berkaitan hukuman memandu dalam keadaan mabuk.

“Kenyataan tidak menghormati orang Kristian tidak mencerminkan Malaysia, terutama apabila kata-kata itu hadir dari anggota parlimen parti Islam yang secara terbuka memusuhi orang bukan Islam.

“Ketika bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Aziz masih hidup, tiada hinaan dibuat oleh PAS terhadap Kristian dan Injil.

“Selepas kematian Allahyarham Nik Aziz, PAS menjadi lebih ekstrimis dan dengan itu tidak diendahkan, tetapi situasi kini berbeza kerana mereka sebahagian dari kerajaan persekutuan,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.


Zawawi sedia berdialog secara harmoni


Zawawi sebelum ini dilapor membuat kenyataan berkenaan di Dewan Rakyat Rabu lalu ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 - untuk meningkatkan hukuman kepada pemandu mabuk.

Zawawi juga enggan memohon maaf ketika diarah berbuat demikian dan menyifatkan tiada pihak yang seharusnya tersinggung dengan kenyataannya itu.

Nik Aziz merupakan ahli politik yang disegani. Nik Aziz pernah menjadi Menteri Besar Kelantan sebelum bersara pada 2013.

Nik Aziz meninggal dunia pada 12 Feb 2015.

Parti PN lain tunduk pada PAS

Mengulas lanjut, Lim mendakwa Zawawi sekali lagi menghina orang Kristian setelah enggan memohon maaf.

“Zawawi tidak menghiraukan hakikat bahawa perlembagaan persekutuan jelas berkata bahawa Islam merupakan agama rasmi tetapi orang bukan Islam mempunyai hak untuk menganuti agama lain.

“Hak tersebut tentunya termasuklah supaya tiada pihak yang menghina agama lain. Malah saya diberitahu rakan Melayu bahawa Islam melarang menghina agama lain,” katanya lagi.

Lim juga menggesa Perikatan Nasional (PN), termasuk menteri kabinet untuk tidak membiarkan Zawawi terlepas setelah membuat kenyataan demikian.

Tambahnya, kegagalan PN untuk tidak mengenakan tindakan ke atas anggota parlimen itu menunjukkan bahawa kerajaan kini tunduk kepada PAS.

“Jika kerajaan kini masih memberi jaminan beragama kepada orang bukan Islam seperti dalam perlembagaan persekutuan, jadi anggota parlimen PAS itu sepatutnya tidak boleh dibiarkan terlepas setelah membuat kenyataan menghina itu.

“Menteri sekarang dan timbalan menteri terutama pemimpin parti kerajaan, perlu berasa malu kerana terlalu takut dengan PAS dan gagal mengenakan tindakan terhadap wakil rakyat PAS ini," katanya.

PAS Sabah kecam Shafie Apdal atas kritikan pada Zawawi

Dalam perkembangan berasingan, PAS Sabah mengecam Presiden Warisan Shafie Apdal yang mengeluarkan kenyataan mengkritik Zawawi.

Hal ini hadir selepas Shafie memuat naik kenyataan di akaun Fabecook mengingati ahli politik terutama PAS untuk tidak membuat kenyataan melampau yang boleh menggugat keharmonian negara.

“Kalau kita bertindak menggunakan isu-isu yang memecah belahkan kaum dan agama, perpaduan kaum tidak akan dikecapi.

“Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berbahas di Dewan Rakyat mendakwa kitab Injil yang digunakan masyarakat Kristian di negara ini telah terpesong.

“Kenyataan tersebut menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian termasuk pemimpin gereja seluruh negara yang mendesak beliau untuk memohon maaf,” kata Shafie.

Presiden Warisan itu memberi amaran kepada kemungkinan bahaya ektremisme.

Nik Muhammad Zawawi Salleh

Susulan itu, Setiausaha PAS Sabah Aliakbar Gulasan mengeluarkan kenyataan berkata bahawa ketua menteri Sabah itu seharusnya menjadi pemimpin yang membawa kepada keharmonian rakyat bukannya menjadi "batu api".

Aliakbar turut menyifatkan kenyataan Shafie seolah-olah ingin menimbulkan konflik kaum dan agama.

“Saya buat kesimpulan Warisan-PH di Sabah memang sangat suka membesarkan isu-isu agama dan perkauman.

“Saya masih ingat bagaimana Peter Anthony dan Datuk Madius Tangau mengecam PAS dan Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis. Semuanya bersandarkan persepsi negatif dan perkauman.

"Sehinggakan papan-papan tanda yang dinaikkan mengecam PAS walaupun PAS tidak bertanding dalam pilihan raya tersebut. Ternyata masyarakat menolak politik perkauman seumpama itu.

“Saya berharap Shafie Apdal dan seluruh kepimpinan Warisan-PH berhenti dari membuat kenyataan yang berbaur perkauman seperti ini,” katanya.