Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Setujukah Adham Baba, Hishammuddin dengan mursyidul am PAS?'

KATA MP | Adakah Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, dan Menteri Luar, Hishammuddin Hussein mengakui dakwaan PAS bahawa kedua-dua kementerian terbabit harus dipersalahkan atas tindakan Khairuddin Aman Razali melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin Covid-19?

Jika tidak, mengapa mereka berdiam diri sehingga kini selepas ada dakwaan mengenainya oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin?

Pada Muktamar Ulama PAS Perak yang berlangsung hujung minggu lalu, Hashim berkata Khairuddin perlu diangkat sebagai seorang wira walaupun dia bertindak melanggar SOP kuarantin wajib Covid-19.

Alasan yang diberikan ialah, kononnya menteri PAS itu membawa pelaburan yang besar kepada sektor industri sawit negara selepas mengadakan lawatan kerja ke Turki.

Hashim Jasin berkata: “Dia langgar peraturan tapi dia bawa berita baik, berita yang bawa faedah. Dia ini hero, umpama burung hudhud yang hendak dikenakan hukuman, sedangkan dia sebenarnya hero.”

Mursyidul Am PAS itu berkata Khairuddin teruk diserang oleh ahli parlimen pembangkang, sedangkan menurutnya, kesalahan harus ditujukan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar kerana gagal memastikan menteri itu mematuhi SOP kuarantin wajib selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Hashim mendakwa KKM dan Kementerian Luar Negeri “lalai”, justeru kesalahan tidak harus diletakkan di bahu Khairuddin.

Adakah ini pendirian Kabinet Perikatan Nasional (PN) atau hanya pandangan PAS yang tidak disokong oleh kerajaan?

Amatlah pelik dan luar biasa, meskipun sudah dua minggu berlalu, rakyat Malaysia masih tidak mendapat gambaran sebenar tentang lawatan kerja Khairuddin dan rombongannya ke Turki.

Rakyat juga masih tertanya-tanya mengenai pelanggaran SOP kuarantin wajib Covid-19, hasil siasatan polis dan segala penipuan yang diceritakannya.

Sebagai contoh: Turki didakwa kononnya diisytiharkan sebagai “negara zon hijau” ketika mereka mengadakan lawatan ke negara itu, sedangkan Turki adalah antara negara yang mencatatkan angka tertinggi kes pandemik berkenaan.

Terdapat juga cakap-cakap yang mendakwa Khairuddin mengadakan lawatan ke negara lain selain Turki. Adakah dakwaan ini benar atau tidak?

Perlu ada pendedahan penuh, sikap bertanggungjawab dan ketelusan berhubung isu ini dan isu lain yang melibatkan kepentingan awam.


LIM KIT SIANG ialah anggota parlimen Iskandar Puteri, Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.