Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Guan Eng: Kenapa SPRM masih tak ambil tindakan isu surat sokongan Ikmal?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjelaskan mengapa setakat ini tidak ada tindakan yang diambil terhadap Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz kerana mengesyorkan anaknya sendiri sebagai anggota lembaga pengarah Pharmaniaga, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Jelas Lim, ini meskipun Ikmal sudah "mengakui" kesalahan berkenaan.

"Tindakan Ikmal memberikan surat sokongan melantik anaknya sebagai ahli lembaga pengarah Pharmaniaga ialah gejala salah guna kuasa, rasuah dan nepotisme yang muncul dalam pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

"Tiada keraguan di sini bahawa SPRM perlu menyiasat dan mengambil tindakan kerana Ikmal telah meminta jawatan yang menguntungkan anaknya sendiri menggunakan kedudukan beliau sebagai timbalan menteri pertahanan," kata Lim dalam kenyataan media hari ini.

Jelas Lim, Ikmal bukan hanya mengakui bahawa dia menulis surat sokongan tetapi juga mengakui tindakan itu salah dan telah menarik balik surat berkenaan.

Ikmal pada 22 Ogos menyatakan rasa kesal kerana telah menulis surat sokongan untuk anaknya dan menjelaskan bahawa dia sudah menulis surat susulan meminta agar ia dibatalkan.

"Saya akui terdapat beberapa kelemahan daripada pihak saya dan Insya-Allah, perkara ini akan diperbetulkan secepat mungkin.

"[....] Seingat saya, saya ada buat satu lagi surat, yang saya minta menteri untuk menarik balik cadangan permohonan saya itu dan maklumkan kepada menteri supaya batalkan," kata Ikmal.

Bagaimanapun, Lim dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa sudah terlambat untuk Ikmal menafikan tanggungjawab berhubung perkara itu kerana surat sokongan sudah dikeluarkan.

"Malah, tindakan untuk mendapatkan habuan tersebut boleh dianggap telah genap dan lengkap apabila (Menteri Pertahanan) Ismail Sabri bersetuju dengan cadangan Ikmal untuk melantik anaknya itu.

"Setakat ini, tiada apa-apa berita mahupun perkembangan terbaru daripada SPRM tentang isu ini.

"Semua orang adalah sama di sisi undang-undang, tidak kira seorang VIP ataupun seorang rakyat biasa.

"SPRM harus mengambil tindakan segera terhadap Ikmal untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengamalkan dasar pilih kasih," kata ahli parlimen Bagan itu.

Pada 21 Ogos lalu, Ismail mengesahkan kepada Malaysiakini kesahihan surat berkenaan dan tulisan tangannya yang mengatakan "Saya setuju".

Anggota Parlimen Bera itu berkata dia memberikan sokongan kepada anak Ikmal, Ikmal Hazlan memandangkan pengalamannya dalam perniagaan dan politik.

Bagaimanapun, Ismail mengakui kebimbangan memandangkan ia melibatkan anak timbalannya.

Menurut Ismail, inilah sebab dia hanya menyatakan sokongan tetapi tidak membuat langkah susulan mengenai pelantikan Hazlan.

"Ya (saya setuju ini mungkin nepotisme). Inilah sebabnya mengapa saya tidak melantiknya," kata Ismail.