Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Projek KVDT2: 'Tiada asas' kerajaan buka semula tender kontrak - Dhaya Maju LTAT

Kerajaan Perikatan Nasional tidak ada asas untuk menamatkan kontrak sekarang bagi projek pembinaan Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT 2), kata kontraktornya Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd.

Ketua pegawai eksekutifnya Mohamed Razeek Hussain berkata syarikat itu mempunyai kemampuan untuk melaksanakan projek berkenaan dan atas sebab itu mereka diberi kontrak oleh kedua-dua pentadbiran BN dan kemudian PH pada tahun 2018 dan 2019.

"Pada masa ini, syarikat memiliki kepelbagaian dan aset rel bernilai kira-kira RM350 juta yang merangkumi jentera dan peralatan kerja landasan khusus untuk memastikan projek disiapkan mengikut masa ditetapkan.

"Dhaya Maju LTAT telah menerima surat anugerah tender (LOA) pada 19 Ogos 2019 dan secara rasmi diberikan hak milik tapak pada 3 September 2019.

"Kepemilikan kami terhadap mesin kereta api, bekalan bahan yang mencukupi dan tenaga kerja yang berdisiplin dan mahir, telah memberikan bukti kuat kepada kedua-dua kerajaan, BN dan juga PH untuk memberikan kontrak kepada kami," katanya.

Kenyataan Razeek dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong pada minggu lalu yang mengatakan kerajaan akan membuka semula tender projek KVDT2.

Wee berkata ini kerana siasatan mendapati projek bernilai RM4.475 bilion itu masih terlalu mahal walaupun terdapat pengurangan kos oleh pentadbiran Pakatan Harapan sebelumnya.

Projek KVDT2 menjadi perhatian ketika Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 101 kontrak yang telah diberikan melalui proses rundingan terus semasa PH berkuasa; yang mana KVDT2 terbesar dari segi nilai.

'Semua tuntutan disahkan sebelum pembayaran dilulus'

Razeek mendakwa kenyataan menteri itu gagal menggambarkan dan menjelaskan secara tepat latar belakang pemberian kontrak itu.

Menurutnya, Dhaya Maju LTAT telah menerima surat anugerah tender (LOA) projek yang asal semasa kerajaan BN pada 4 April 2018 dan memulakan kerja sehingga ditamatkan oleh kerajaan PH pada 19 Oktober pada tahun yang sama.

Untuk rekod, kerajaan BN telah memberikan projek tersebut kepada Dhaya Maju LTAT hanya dua hari sebelum perdana menteri ketika itu, Najib Razak pembubaran parlimen. BN dikalahkan oleh PH pada pilihan raya ke-14.

Razeek mendakwa bagaimanapun, pentadbiran PH pada 5 Julai 2019 telah bersetuju untuk melantik semula syarikat itu setelah menerima bahawa tidak ada asas untuk menghentikan Surat Anugerah awal.

"Berikutan itu, kami dilantik untuk meneruskan Projek KVDT2 berdasarkan Surat Anugerah Tender bertarikh 19 Ogos 2019 dengan jumlah kontrak yang lebih rendah.

"Jumlah kontrak yang dikurangkan diperoleh selepas siri pengurusan nilai dan makmal kejuruteraan nilai dilaksanakan dengan penyertaan semua pihak berkepentingan dan dipimpin oleh pakar dari MOT dan KTMB.

"Oleh itu, kami merasa kecewa dan bingung dengan kenyataan menteri berdasarkan beberapa laporan mengenai kos projek yang kami tidak sedari," katanya.

Razeek menjelaskan projek KVDT2 dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan yang dibuat disahkan sebelum diluluskan untuk pembayaran.

""Untuk rekod, kerja-kerja itu pada masa ini dipantau oleh perunding profesional dan semua tuntutan telah disemak dan disahkan sebelum sebarang kelulusan pembayaran.

"Malah, terdapat pemantauan kewangan yang ketat di bawah pemerhatian pegawai berkaitan bagi projek KVDT2 itu," katanya.

Menurutnya, projek ini telah selesai 24 peratus dan telah memberikan peluang pekerjaan kepada lebih dari 7,000 pekerja di bawah sektor perkhidmatan, bekalan dan penyelenggaraan.

"Keputusan menteri tanpa kewajaran itu untuk membuka semula tender Projek KVDT2 hampir tidak dapat dielakkan akan menunda projek ini dan bertentangan dengan kenyataannya (sebelum ini) bahawa menangguhkan projek itu membawa penderitaan yang tidak terkira kepada orang ramai dan penumpang.

"Sebagai kontraktor yang bertanggungjawab, kami berhasrat untuk terus melaksanakan kewajipan kami untuk memastikan bahawa projek itu diserahkan tepat pada waktunya dan tanpa penundaan. Kami juga akan terus terlibat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk memastikan bahawa projek KVDT2 dan kepentingan orang awam tidak dikompromi atau tergugat.

"Kami tidak faham mengapa secara tiba-tiba bertindak untuk menamatkan kontrak? Kerajaan perlu mempertimbangkan kesan langsung kepada ekonomi semasa wabak Covid-19 ini, serta melihat statistik masa dan kos penamatan.

“Tapak akan terbiar dan hanya mengundang bahaya kepada orang ramai," kata Razeek.

[Baca berita penuh]