'Tangani isu gaji murah, kebergantungan pekerja asing'
Kerajaan harus mengambil peluang ketika situasi wabak Covid-19 sekarang untuk mengatur semula ekonomi dengan menangani isu ketidaksamaan upah dan kebergantungan kepada pekerja asing, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Abdul Jalil Rasheed.
"Satu hal yang harus diperhatikan oleh kerajaan adalah menjadikan situasi ketika ini sebagai peluang untuk mengatur kembali ekonomi.
"Lihatlah dengan teliti dan lihat di mana kita benar-benar ingin berada dalam 10 hingga 15 tahun dan apa yang akan menjadi pemacu utama ekonomi kita, "kata Jalil dalam wawancara podcast dalam talian yang dikenali sebagai 'Bicara Minggu Ini'.
Jalil berkata Malaysia masih terperangkap dengan kadar gaji yang rendah dan sesetengah pekerja masih dibayar gaji yang sama seperti pada tahun 1990-an, walaupun terdapat kenaikan inflasi.
Pada awal tahun 1990-an, Malaysia dikenali sebagai 'harimau Asia' yang mesra perniagaan dengan kos pengeluaran yang rendah.
Pada masa itu, katanya, Malaysia mempunyai kelebihan kerana negara-negara lain seperti China dan Vietnam masih mengamalkan ekonomi tertutup.
Keadaan itu tidak lagi berlaku sekarang kerana China dan Vietnam memiliki kos pengeluaran yang lebih murah berbanding Malaysia.
Oleh itu, katanya, Malaysia perlu mencari kelebihan daya saing yang baru selain daripada kos pengeluaran yang rendah akibat gaji yang murah.
"Saya sangat kecewa dengan syarikat yang masuk ke negara ini dan mengatakan kita tak boleh berniaga sekiranya kita tidak dapat membayar gaji sebegini dan di situlah saya rasa beberapa keputusan yang sukar perlu diambil.
"Sekiranya kamu tidak dapat membayar mengikut kadar pasaran maka kamu tidak seharusnya berniaga, atau kamu harus memikirkan bagaimana menjalankan perniagaan kamu dengan cara yang lain.
"Ketidaksamaan upah di negara ini akan menjadi penentu terbesar apakah kita sebagai negara akan maju, kalau tidak kita hanya akan bergantung kepada buruh murah," katanya.
Laporan tahunan Bank Negara Malaysia 2018 menyatakan bahawa pekerja Malaysia mendapat gaji yang lebih rendah berbanding sumbangan mereka terhadap pendapatan negara daripada perspektif produktiviti dan ekuiti, terutama ketika dibandingkan dengan penanda aras ekonomi maju dunia.
Bank Negara memberikan contoh sekiranya seseorang pekerja Malaysia menghasilkan output bernilai AS$ 1,000, dia akan dibayar sebanyak AS$ 340. Gaji sepadan yang diterima oleh seorang pekerja bagi penghasilan output yang sama di negara maju adalah bersamaan AS $ 510.
Jalil berkata, salah satu cara yang boleh dilakukan kerajaan bagi mengatasi isu ketidaksetaraan gaji adalah dengan memberi insentif kepada syarikat secara bertahap bagi meningkatkan gaji minimum melalui bantuan kewangan untuk membantu syarikat semasa penularan wabak Covid-19.
Bantuan kewangan juga dapat digunakan untuk memberi insentif kepada syarikat bagi mengurangkan pekerja asing dalam jangka waktu tertentu.
"Saya tidak kata lakukan secara mengejut dan lakukan perkara ini esok tapi berikan tempoh 10 tahun. Ikutlah objektif, jadi dalam 10 tahun, akan ada lebih banyak automasi, lebih ramai orang tempatan bekerja dan kita mengurangkan pergantungan kita kepada buruh asing.
"Saya rasa perkara itu perlu dilakukan kerana jika tidak, 10 tahun dari sekarang, kita akan bercakap perkara yang sama lagi," kata Jalil.
Dengar temubual penuh di sini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai