Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Negeri Sembilan ada potensi besar jadi negeri maju - Exco

Negeri Sembilan mempunyai potensi yang besar untuk menjadi antara negeri maju setanding dengan negeri lain, disokong oleh pelbagai asas termasuk pelaburan yang meningkat setiap tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata terletak berhampiran Lembah Klang, projek seperti Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV2.0), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) merupakan antara pemacu ekonomi yang cukup signifikan kepada pertumbuhan pembangunan Negeri Sembilan, sekali gus mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Katanya kerajaan negeri optimis untuk mencapai sasaran nilai pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, walaupun berhadapan dengan kekangan berikutan penularan pandemik COVID-19, yang menyaksikan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

“Negeri Sembilan terus menjadi pilihan pelabur apabila jumlah pelaburan sebanyak RM3.6 bilion dicatatkan pada 2019, meningkat sebanyak RM1.17 bilion daripada RM2.43 bilion pada 2018 dan telah mewujudkan 3,347 peluang pekerjaan.

“Pada 2017, sebanyak RM1.1 bilion jumlah pelaburan dicatatkan,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan dasar mesra perniagaan yang diamalkan kerajaan untuk menarik lebih ramai pelabur asing dan domestik ke negeri ini merupakan antara langkah yang mampu merangsang ekonomi negeri.

Pada 2018, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri mencatatkan sebanyak RM45.70 bilion berbanding RM43.80 bilion pada tahun sebelumnya dengan kadar pertumbuhan ekonomi pada 4.2 peratus yang lebih sederhana berbanding peningkatan 4.9 peratus pada 2017.

Pada 2019, KDNK negeri dicatatkan sebanyak RM48 bilion dan prestasi ini disumbangkan oleh dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan yang berjumlah RM39.3 bilion atau 86.1 peratus.

Mohamad Rafie berkata sektor pelancongan yang menjadi sumber ekonomi mampan dan lestari kepada Negeri Sembilan telah menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong yang membanggakan sebanyak 14.58 peratus atau 7.86 juta orang pada 2018 daripada 6.86 juta orang pada 2017.

Pada tahun lepas, katanya kehadiran pelancong dicatatkan sebanyak 6.43 juta orang.

Katanya kerajaan negeri berjaya melonjakkan jumlah pendapatan sebanyak RM556 juta pada 2019, melebihi sasaran ditetapkan sebanyak RM430 juta, dan jumlah itu meningkat berbanding RM413.46 juta pada 2018.

Dalam memperkasakan ekonomi dan pembangunan negeri, katanya kerajaan turut merangka pembangunan berpaksikan Pelan Pembangunan Induk Ekonomi Negeri Sembilan yang merangkumi sektor perindustrian, pertanian dan keindahan biodiversiti negeri.

“Pelan induk ini amat penting kerana kita akan membangunkan Negeri Sembilan secara terancang dan teratur.

“Pada dasarnya, sektor perindustrian dan pembuatan ditumpukan di dua daerah utama di kawasan MVV2.0 di Seremban dan Port Dickson,” katanya, sambil menambah baki empat daerah iaitu Jempol, Kuala Pilah, Tampin dan Rembau akan diperkasakan sebagai kawasan agropolis dan destinasi pelancongan.

Mengakui COVID-19 melumpuhkan persekitaran ekonomi dunia yang turut menjejaskan perancangan pembangunan negeri termasuk kedatangan pelabur domestik dan asing, Mohamad Rafie berkata usaha untuk membawa masuk pelabur akan diteruskan.

“Segala perancangan yang tertangguh semasa PKP sebelum ini, telah kembali berjalan.

“Dalam mesyuarat kerajaan negeri minggu lepas, kita akan memastikan pelaburan bernilai RM1.5 bilion untuk industri pembuatan semikonduktor di Seremban diberi laluan dengan kaedah ‘fast track’ tanpa ada birokrasi dan masalah yang menyebabkan kelewatan," katanya.

Dalam mempelbagaikan lagi sumber ekonomi, beliau berkata kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi berteknologi tinggi dalam sektor perindustrian, pembuatan, perkhidmatan, maritim dan pertanian, sebagai aliran pendapatan baharu.

“Bagi daerah Port Dickson, perancangan sektor perindustrian dan pembuatan melibatkan pembangunan Lembah Aeroangkasa NS iaitu kawasan perindustrian berkaitan pembuatan dan pemasangan kapal terbang di Lukut-Tanah Merah, Port Dickson seluas 16,000 ekar (6474.97 hektar).

“Projek itu kini di peringkat akhir untuk urusan berkaitan tanah dan ada pemaju yang bersedia untuk memajukannya.

“Kita turut melihat bagaimana untuk menembusi sektor maritim dengan mewartakan parkir untuk kapal antarabangsa di kawasan Port Dickson sementara menunggu giliran untuk masuk ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Melalui pelan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan, katanya Lukut-Tanah Merah, Port Dickson juga bakal dibangunkan sebagai hab logistik yang bukan hanya berperanan untuk Malaysia bahkan bagi Asia Tenggara dan Asia untuk menampung keperluan dalam sektor perniagaan dalam talian yang semakin berkembang.

Memperincikan pembangunan ekonomi dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, Mohamad Rafie berkata kerajaan negeri merancang untuk memajukan hab industri halal yang ketika ini tertumpu di kawasan perindustrian Enstek, di daerah Nilai dan pada masa sama, turut memberi penekanan kepada pelancongan perubatan.

“Kita akan memajukan hab industri halal di Enstek yang terdapat kilang Coca-Cola, Kellogg’s, gula stevia yang berteraskan kepada halal.

“Selain sektor makanan dan minuman, kita mahu jadikan tempat ini sebagai hab industri halal dalam sektor kosmetik dan farmaseutikal. Kita sedang berbincang dengan pemaju berkaitan perkara ini.

“Di bawah industri perkhidmatan, antara yang ditekankan ialah pelancongan perubatan dan kita sedang melihat kawasan yang sesuai untuk membangunkannya,” katanya.

Mengenai projek ECRL dan HSR, Mohamad Rafie berkata kemudahan infrastruktur itu sudah pasti akan merangsang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Bagi ECRL, terdapat dua stesen yang dijangka dibina di Nilai dan Titi, Jelebu. Di Nilai, kita bukan hanya mencadangkan stesen penumpang tetapi juga stesen kargo. Kemudahan kargo ini nanti akan memudahkan dan mengurangkan pengangkutan barangan untuk dieksport melalui Pelabuhan Klang.

“Bagi HSR, kita merancang untuk membangunkan pembangunan bandar berorientasikan persinggahan yang akan dibina sebagai antara laluan perhentian dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan kelajuan 320 kilometer/jam,” katanya.

Katanya beliau berharap Negeri Sembilan akan menjadi antara negeri termaju berdasarkan kedudukannya yang tidak jauh dari Lembah Klang.

“Kita mahu meningkatkan taraf hidup rakyat dan ini cabaran untuk kita kerana ia menjadi Petunjuk Prestasi Utama kita.

“Kita berasa amat tidak selesa kalau Negeri Sembilan yang tidak jauh dari Lembah Klang mempunyai pendapatan isi rumah sebanyak RM5,055 iaitu di bawah purata nasional sebanyak RM5,873,” katanya.

Beliau juga berkata institusi pendidikan termasuk institut berkaitan teknikal dan kemahiran perlu ditambah serta institusi pendidikan sedia ada perlu diperkasakan supaya dapat mencapai keperluan jumlah tenaga kerja yang diperlukan di negeri ini.

- Bernama