Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Filipina tuntut Sabah: Malaysia perlu 'reaksi keras'

Tindakan diplomatik tetapi "keras" yang digunakan kerajaan khususnya Kementerian Luar terhadap Filipina dalam menangani isu kedaulatan Sabah adalah satu tindakan wajar.

Pakar Kajian Strategik dan Antikeganasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Dr Mizan Aslam, berkata "reaksi keras" adalah satu tindakan wajar bagi menunjukkan ketegasan negara menolak tuntutan Filipina.

"Tindakan diplomatik yang keras ini perlu, kita tak nak isu ini pergunakan untuk agenda peribadi, politik.

"Malaysia bantah isu tuntutan Filipina dengan memanggil dutanya, dan ini perlu dilakukan oleh kerajaan, ini soal kedaulatan.

"Kita ambil contoh isu Pulau Batu Putih dulu, Singapura masa itu bina rumah api, kita tak bantah, seolah-olah bersetuju (Pulau Batu Putih hak Singapura), jika tidak ada reaksi keras umpama ini bermakna kita setuju," katanya kepada Malaysiakini.

Empat hari lalu, Wisma Putra sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Sabah adalah sebahagian dari Malaysia untuk selamanya.

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, Malaysia sudah membuat pendirian sebelum ini mengenai Sabah dan tiada persoalan lagi mengenainya.

"Sabah selamanya akan menjadi sebahagian daripada Malaysia," katanya menerusi ciapannya di Twitternya.

Dua hari lalu, Timbalan Menteri Luar, Kamarudin Jaffar menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baru memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.

Katanya, pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sebagai reaksi balas selain tindakan-tindakan yang telah diambil sebelum ini.

Mengulas perkara itu, Mizan berkata ia tindakan keterlaluan Filipina dan berpendapat perkara itu ditimbulkan demi kepentingan politik.

Beliau berkata, kerajaan mungkin boleh menggunakan semangat Asean bagi membantah tindakan itu.

Bagaimanapun kata Mizan, tuntutan yang berasaskan kepada fakta sejarah biasanya tidak berjaya.

"Tuntutan berasaskan sejarah tidak terpakai contohnya dalam kes Pulau Batu Putih, ia dikaitakan dengan kesultanan Johor, namun mahkamah antarabangsa (ICJ) membuat keputusan ia milik Singapura.

"Jika pemilikan berdasarkan sejarah, Johor layak untuk menuntut Riau, dahulukan pernah wujud Johor Riau," katanya lagi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Malaysia tegas menyatakan tiada kompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan Sabah dan akan mempertahankan negeri itu sehingga ke akhir.

"Baru-baru ini ada kenyataan daripada pihak Filipina nak buat peta baru yang antaranya telah dimasuk dalam passport...saya tak nak cakap panjang, kita tidak akan tunduk dengan tuntutan ini. Sabah kekal dalam Malaysia...Sabah sebahagian daripada Malaysia," katanya.