Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Waran tangkap: Azwanddin dakwa tak tahu ada prosiding semalam

Bekas presiden NGO Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah meminta pihak berkuasa mempertimbangkan semula waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya kerana gagal menghadiri prosiding komital yang difailkan terhadapnya oleh bekas menteri industri utama Teresa Kok.

Azwanddin berkata, dia tidak menerima sebarang notis bagi menghadiri prosiding itu.

"Dalam notis kebangkrapan yang diterbitkan oleh Berita Harian bertarikh 12 Ogos 2020, tidak ada pemberitahuan atau arahan yang diberikan kepada saya untuk menghadiri pengadilan pada 28 Ogos 2020.

"Sekiranya saya mendapat notis atau panggilan daripada peguam Kok, saya pasti akan hadir di mahkamah dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Saya ingin menyatakan bahawa tindakan yang diambil oleh hakim dalam mengeluarkan waran tangkap terhadap saya sangat mengejutkan dan harus dipertimbangkan semula," kata Azwanddin dalam satu kenyataan semalam.

Dia turut memberitahu bahawa peguam Kok mempunyai nombor telefonnya dan mereka berhubung beberapa kali sebelum ini.

Peguam Kok, Sankara Nair semalam memaklumkan yang Azwanddin tahu mengenai prosiding yang berlangsung semalam kerana surat pemberitahuan telah dihantar kepadanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap Azwanddin kerana tidak menghadiri prosiding perbicaraan yang difailkan terhadapnya oleh Kok.

Permohonan prosiding komital terhadap Azwanddin difailkan pada 8 Oktober lalu berikutan kegagalannya mengemukakan permohonan maaf terbuka di tiga surat khabar, iaitu Sinar Harian, The Star dan Sin Chew Daily dan membayar kos, yang merupakan antara syarat penyelesaian tuntutan saman fitnah difailkan oleh Kok terhadapnya.

Bagaimanapun, Azwanddin dalam kenyataannya semalam berkata dia sudah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kok, merujuk pada artikel Malaysiakini pada 17 Oktober 2019.

Kok mengemukakan tuntutan saman fitnah terhadap Azwanddin kerana mengaitkannya dalam insiden pertikaian tanah yang melibatkan kuil Hindu Sri Maha Mariamman di Seafield, Subang Jaya dan kes itu diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi pada 29 Julai lalu.

Untuk rekod, Azwanddin Hamzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai JMM pada 2 Ogos lalu.

Jawatan itu kini diisi oleh Ahli Majlis Tertinggi JMM, Azlan Johar, 57.

Ini selepas Azwanddin mengemudi NGO itu selama 13 tahun.