Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKP pentadbiran di Amanjaya, Kedah mulai tengah malam ini

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan secara pentadbiran (PKPD) di Amanjaya, Kedah, berkuatkuasa esok bagi membendung penularan Covid-19 di sana.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata tiga zon di sana yang terlibat ialah Kenanga, Mawar dan Melur.

"Mesyuarat khas menteri-menteri mengenai pelaksanaan PKP hari ini telah bersetuju untuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan secara pentadbiran di Amanjaya, Kedah.

"PKPD ini berkuatkuasa jam 12.01 malam, 28 Ogos 2020 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya.

Katanya, perintah itu melibatkan 22,360 isi rumah (265 rumah) yang akan menjalani ujian saringan Covid-19.

Dengan berkuatkuasanya PKP pentadbiran di situ, penduduk di zon terlibat tidak dibenarkan keluar dari zon masing-masing, manakala orang luar tidak dibenarkan masuk.

Tempat awam seperti masjid, rumah ibadat lain dan sekolah juga akan ditutup.

Kilang dan premis perniagaan juga ditutup, kecuali kedai yang menyediakan perkhidmatan penting seperti kedai makan dan kedai runcit, serta stesen minyak, klinik dan farmasi.

Kedai makan hanya boleh menawarkan makanan untuk dibawa pulang, manakala farmasi, stesen minyak dan kedai runcit dibenarkan beroperasi sehingga lapan malam.

Pasar malam dan pasar tani juga ditutup, manakala pasar harian hanya boleh dibuka pada pukul enam pagi hingga dua petang.

Hanya ketua keluarga atau seorang dari rumah yang dibenarkan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan.

Mengulas isu sekumpulan yang ditangkap kerana melanggar PKP, Ismail berkata polis akan membuat siasatan dan menghantar hasil siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.

"Prosedur sama diambil..Kita serahkan kepada polis untuk siasat," katanya tanpa merujuk mana-mana kes secara khusus.

Terdahulu, anak perempuan seorang kenamaan (VIP) antara ditahan dalam serbuan polis di sebuah pub di Kuala Lumpur pada Ahad lalu kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Difahamkan dia adalah anak kepada seorang pemimpin pembangkang.