Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Zafrul sertai kelab Malu Apa Bosku, kata Kit Siang

Ahli Parlimen DAP Iskandar Purti, Lim Kit Siang mencabar Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya tidak “malu-malu kucing” untuk mendedahkan senarai projek berserta dengan nama-nama penerimanya selepas memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa terdapat 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang diluluskan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Katanya, menteri kewangan itu seharusnya menjunjung prinsip-prinsip bertanggungjawab, telus, dan kedaulatan undang-undang seperti di dalam Rukunegara dan tidak sepatutnya menyertai Kelab Malu Apa Bosku.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Zafrul yang baru sahaja membawa satu tamparan besar kepada sambutan Jubli Emas Rukunegara dengan menyertai kempen Malu Apa Bosku.

“Darjat Parlimen telah diturunkan kepada tahap sebuah pasar malam politik, sebuah tempat di mana helah politik dimainkan,” kata Lim dalam satu kenyataan.

"Malu apa bosku" adalah kempen yang digunakan oleh bekas perdana menteri Najib Razak dan ia menjadi sensasi media sosial dan menarik kehadiran ramai orang di majlis-majlisnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu, mendapati Najib bersalah atas semua tujuh pertuduhan terhadapnya berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Isnin lalu, Zafrul dalam menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan, mendakwa terdapat 101 projek yang telah pun diluluskan melalui rundingan terus di bawah pentadbiran PH.

Serentak pendedahan itu, ahli-ahli Parlimen BN melompat gembira dan cuba untuk mengatakan perkara ini adalah bukti penyelewengan dan rasuah.

Beberapa pemimpin pembangkang termasuk bekas menteri kewangan PH, Lim Guan Eng dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad kemudian mencabar Zafrul di atas prinsip ketelusan untuk menerbitkan senarai penuh 101 projek itu, termasuk nama mereka yang menerima kontrak berkenaan.

Namun sehingga hari ini, Zafrul belum menyahut cabaran itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, menteri kewangan harus kembali ke Parlimen untuk membuat satu kenyataan menteri untuk mendedahkan senarai butiran 101 kontrak runding terus itu, bersama juga dengan maklumat rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional dan juga rundingan terus di bawah kerajaan BN yang terdahulu.

“Guan Eng telah memetik 12 projek dalam tempoh lima tahun yang lepas, di antara tahun 2013 sehingga 2018 yang diluluskan secara rundingan terus dalam zaman pemerintahan BN yang bernilai RM139.336 bilion, dan senarai ini belum lagi menunjukkan gambaran keseluruhan jumlah kontrak runding terus di waktu itu.

“Berapa banyakkah projek yang telah diluluskan oleh Zafrul dan berapakah nilainya sepanjang lima bulan beliau menjadi menteri kewangan? Mampukah beliau untuk berhadapan dengan penelitian awam?”soalnya.

Pemimpin veteran DAP itu turut menyelar SPRM yang menurutnya memberikan respons luar biasa yang amat pantas terhadap permainan politik ahli-ahli parlimen kerajaan.

“Adakah SPRM akan meminta dokumen-dokumen berkaitan dengan 12 projek yang bernilai RM139.336 bilion yang diluluskan di bawah pemerintahan kerajaan BN dalam tahun 2013 sehingga 2018 seperti yang didedahkan oleh Guan Eng untuk menyiasat sama ada terdapat unsur-unsur rasuah, penyelewengan ataupun penyalahgunaan kuasa?

“Adakah SPRM juga akan meminta butiran semua projek yang diluluskan tanpa melalui proses tender terbuka dalam tempoh sepanjang lima bulan Zafrul menjadi menteri kewangan, bersama-sama dengan semua projek runding terus lain dalam tempoh enam tahun di bawah kerajaan BN di antara tahun 2013 ke tahun 2018?” soalnya lagi.