Kepimpinan tidak ditentukan usia - Rafidah ulas langkah Syed Saddiq
Nota editor: Artikel ini telah dipinda bagi menunjukkan pandangan Rafidah dengan lebih jelas.
Mantan menteri kanan, Rafidah Aziz, berkongsi pandangannya berkenaan rancangan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk memecahkan dominasi ahli-ahli politik veteran.
Rafidah yang pernah diberi julukan Wanita Besi itu berkata, negara patut beralih daripada amalan politik yang memfokuskan pengelasan tertentu seperti usia, kaum, agama dan jantina.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita berkongsi takdir yang saling bersilang antara kita. Kita patut menangani isu-isu yang merentasi (perbezaan), dengan tidak (mengamalkan) diskriminasi, pilih kasih dan berat sebelah secara tak wajar (undue bias),” katanya kepada Malaysiakini.
Mengikut kata Rafidah, politik berkisar tentang penaiktarafan untuk semua pihak, baik dalam peluang ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosioekonomi.
“Kita sudah pun berdepan dengan perpecahan dan berpuak-puak dalam masyarakat kita, dan diburukkan lagi dengan politiking yang sempit.
“Sekarang, ditambah pula lagi dengan jurang yang berasaskan umur.
“Kepemimpinan ada dalam diri setiap individu tanpa mengira umur, fahaman, kepercayaan, jantina atau keturunan kerana pemimpin itu memimpin semua orang, bukan hanya satu kumpulan yang tertentu sahaja,” tambahnya.
Syed Saddiq mencuri perhatian apabila dia tidak menyertai Pejuang - parti baru Dr Mahathir Mohamad yang berasaskan Melayu - meskipun merupakan penyokong tegar bekas perdana menteri itu.
Ada kedudukan yang baik
Bekas menteri belia dan sukan itu kemudian mendedahkan yang dia sedang mengusahakan satu gerakan anak muda, dengan memetik contoh parti Future Forward di Thailand dan En Marche di Perancis.
“Saya rasa sudah waktunya di Malaysia, untuk memulai gerakan orang muda - teknokrat muda, profesional - ahli politik muda dari pelbagai latar belakang bersatu untuk memastikan suara mereka menguasai dalam dan di luar parlimen,” kata Syed Saddiq.
Bagaimanapun, penganalisis politik memberikan pandangan berbeza sama ada usaha itu akan mendapat sokongan atau pun tidak dalam negara yang landskap politiknya didominasi isu kaum dan agama.
Pensyarah sains politik UKM Muhamad Nadzri Noor optimis bahawa langkah baru wakil rakyat berusia 28 tahun itu akan dapat meletakkan titik penamat kepada budaya politik “elitisme dan hierarki”.
Katanya, dengan pengalaman menjadi menteri serta populariti di media sosial, Syed Saddiq berada di kedudukan yang baik untuk memacu pengundi muda yang dianggarkan seramai 7.8 juta menjelang 2023 nanti.
Segmen baru pengundi muda itu adalah hasil pindaan perlembagaan “Undi18” diperjuangkan Syed Saddiq, yang menurunkan had minimum umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Dalam nada lebih pesimis pula, pensyarah sains politik UIAM Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar mempersoalkan apakah parti baru Syed Saddiq itu mendapat perhatian orang muda di kampung, terutamanya orang Melayu, memandangkan imej urban yang dimiliki bekas ketua pemuda Bersatu itu.
Dia turut mempersoalkan keupayaan gerakan baru itu untuk bersaing dengan sayap pemuda-pemudi Umno dan PAS yang lebih kuat.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai