Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PRK Slim: Wakil Pejuang ikrar bersama pengundi tanpa protokol ketat

PRK SLIM | Calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berkata bahawa dia tidak berminat menggunakan perkataan "manifesto" untuk berkempen bagi pemilihan pada 29 Ogos nanti.

Namun, katanya, dia berikrar untuk setia bersama pengundi tanpa melalui protokol ketat.

"Ada orang tanya saya apa dia manifesto? Saya tak suka mengguna perkataan manifesto ketika ini. Lebih-lebih lagi, saya bukan calon daripada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri. Saya lebih suka mengatakan ikrar saya, di mana ada dua sahaja.

"Pertama, saya perlu berada bersama dengan pengundi pada bila-bila masa tanpa ada protokol yang kuat.

"Saya kena mudah didekati untuk saya dapat diakses oleh para pengundi dan masyarakat DUN Slim," katanya kepada pemberita di Trolak Utara, Sungkai, petang tadi.

Terdahulu, peguam syarie itu diminta menjelaskan apakah kaedah akan digunakan sekiranya menang di PRK Slim.

Selain itu, katanya, ikrar kedua adalah untuk mengamalkan empat langkah sekiranya menjadi wakil rakyat DUN Slim.

"Empat langkah itu adalah mendengar, mencari solusi, mengambil tindakan dan kemas kini berhubung tugas dan aduan yang dibawa kepada saya," katanya.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

Amir Khusairi akan berdepan calon BN Mohd Zaidi Aziz dan seorang lagi calob bebas, Santharasekaran Subramaniam.

Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu namun menyatakan sokongan pada Amir Khusairi.

Pada PRU14, BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Sokong Syed Saddiq tubuh parti

Sementara itu, Amir Khusairi memberitahu bahawa dia menyokong hasrat bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Abdul Rahman yang tidak menyertai Pejuang dan sebaliknya mahu menubuhkan parti baru berasaskan anak muda.

"Syed Saddiq dah beberapa kali sebelum ini turun bersama-sama saya membuat kempen. Saya sangat sokong Syed Saddiq tubuh parti baru berlandaskan anak-anak muda.

"Parti itu adalah satu wadah.Tapi asalkan aspirasi perjuangan itu sama menegakkan apa yang hak, menolak kleptokrasi, rasuah, pengkhianatan.

"Saya percaya tak kira apa jua parti apa jua wadah, asalkan perkara itu positif baik untuk rakyat," katanya.

Pada 23 Ogos, Syed Saddiq mengesahkan dia tidak akan menyertai parti yang berteraskan Melayu itu, namun sebaliknya akan menubuhkan parti anak muda berbilang kaum.