Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan jadual semula pendengaran isu lucut hak Umno, Wanita MCA

Mahkamah Rayuan menjadualkan semula pendengaran rayuan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan lucut hak yang dikemukakannya terhadap Umno, Wanita MCA dan lain-lain pada 30 Nov ini.

Mohamad Zabidin Mohd Diah, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata mahkamah berpendapat adalah lebih baik rayuan itu didengar pada tarikh lain sementara menunggu keputusan satu lagi rayuan di Mahkamah Persekutuan membabitkan kes Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB).

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan 30 Sept untuk memutuskan rayuan pendakwaan yang ingin mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan berhubung permohonannya untuk melucut hak wang dan hartanah bernilai lebih RM37 juta milik dua individu serta tujuh syarikat termasuk KDSB yang menguruskan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Pada prosiding hari ini di hadapan panel hakim Mahkamah Rayuan yang turut membabitkan P Ravinthran dan Ahmad Nasfy Yasin, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Roslan Mat Nor mencadangkan agar mahkamah menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata ini bagi memastikan kesahihan undang-undang dan langkah itu tidak akan memprejudis para responden.

Pendakwaan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Feb lepas yang menolak permohonannya untuk melucut hak lebih RM194 juta yang dirampas daripada UMNO, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd yang didakwa diterima daripada bekas perdana menteri Najib Razak serta dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Permohonan pelucuthakan terhadap Umno membabitkan RM192,965,413.61 manakala Wanita MCA sebanyak RM300,000.

Bagi Perano, sebuah syarikat yang menjual hijab, dan Binsabi Sdn Bhd yang membekalkan khemah, pula masing-masing membabitkan jumlah RM337,634.78 dan RM827,250.

Pendakwaan turut mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Dis tahun lepas yang menolak permohonannya bagi melucut hak RM100,000 daripada Habib Jewels Sdn Bhd.

Peguam Khoo Guan Huat, yang mewakili Habib Jewels Sdn Bhd, berkata beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan sama ada ingin menjadualkan semula pendengaran rayuan itu dan berkata keputusan Mahkamah Persekutuan dalam isu membabitkan KDSB tidak menjejaskan kes anak guamnya.

Panel sama turut menangguhkan pendengaran rayuan Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pahang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan lepas yang membenarkan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 yang dirampas daripada Jawatankuasa Perhubungan Umno Pahang.

Mohamad Zabidin berkata rayuan itu akan didengar pada 30 Nov bersama-sama rayuan pendakwaan dalam kes membabitkan Jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah.

Pada tarikh sama, panel itu akan turut mendengar permohonan pendakwaan untuk meminda petisyen rayuannya dalam kes membabitkan Jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah.

Pada 13 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM1.05 juta daripada Jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.

Panel sama turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk meminda petisyen rayuannya dalam kes membabitkan K&Z Enterprise Sdn Bhd dan menetapkan 30 Nov untuk mendengar rayuan pendakwaan.

Pada 3 Jan lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak RM138,359.60 daripada K&Z Enteprise, yang diwakili peguam Thevini Nayagam.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh mewakili Umno, Ben Chan mewakili Wanita MCA, Mohd Shukri Ahmad Mansor mewakili Jawatankuasa Perhubungan UMNO Pahang dan D. Nadaraja mewakili Jawatankuasa Perhubungan UMNO Kedah.

Thevini turut mewakili Perano manakala Muhammad Hasif Hasan mewakili Binsabi.

- Bernama