Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Isu kontena PPR Pak Mahat selesai

ULASAN | Dalam usaha untuk menjadikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat di Kuantan sebagai sebuah kawasan contoh, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menjalankan siri kerjasama dengan penduduk di situ.

Antara program yang sedang dijalankan ialah projek tanaman sayur.

Penduduk PPR Pak Mahat dibekalkan dengan benih tanaman oleh MPK dan pihak berkuasa tempatan itu juga berbesar hati memberikan khidmat nasihat bagi menjayakan projek berkenaan.

Skuad Bomba Sukarela juga diwujudkan bagi menangani sebarang kemungkinan yang akan berlaku di situ.

Pihak MPK juga sedang berusaha memastikan projek Perpustakaan Kontena yang dijalankan mereka bersama sebuah NGO tempatan mendapat bekalan elektrik dengan segera.

Sebelum ini berlaku sedikit kekeliruan apabila kontena yang akan dijadikan perpustakaan tersebut menghadapi sedikit masalah kelulusan.

Namun atas jasa baik Yang Dipertua MPK Hamdan Hussin segala kekusutan itu dapat dileraikan dengan pantas dan penuh harmoni.

Syed Azimal Amir - wakil kepada NGO berkenaan - mengucapkan ribuan terima kasih kepada Hamdan yang menunjukkan keprihatin terhadap kesejahteraan penduduk kawasan tersebut.

Projek Perpustakaan Kontena itu merupakan kerjasama pertama MPK bersama dengan NGO tempatan.

Adalah diharapkan agar penduduk PPR Pak Mahat boleh mengambil bahagian dalam semua program yang dijalankan oleh MPK dan mana-mana NGO bagi memastikan kawasan perumahan terbabit menjadi petempatan menjadi contoh di seluruh negara.

Memastikan kebersihan persekitaran perumahan itu hendaklah sentiasa menjadi agenda utama penduduknya.

Begitu juga halnya dengan kebajikan anak-anak yang harus menjadi keutamaan.

Pastikan anak-anak terbabit tidak lagi berkeliaran sehingga awal pagi sebagai tanda wujud bimbingan dalam kalangan orang dewasa.

Mungkin perlu diwujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada penduduk sendiri bagi mengawasi remaja di kawasan itu.

Dengan adanya perpustakaan itu nanti, diharapkan ia dapat digunakan sepenuhnya oleh seluruh penduduk kawasan tersebut.

Tidak ada yang boleh mengubah nasib kita selain kita sendiri dan segala kesulitan yang dihadapi oleh penduduk kawasan berkenaan hanya akan berubah apabila mereka sendiri mahu mengubahnya.

MPK dan NGO hanya mampu membantu. Kesungguhan penduduk sangat diharapkan dalam membentuk satu kehidupan baru untuk genarasi akan datang.


ABDULLAHJONES ialah seorang pelukis dan penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.