Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ingkar SOP dan RUU355: Di mana keadilan?

ULASAN | Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang ahli politik berstatus menteri yang melanggar SOP setelah pulang dari luar negara dan juga gagal mematuhi arahan kuarantin diri sendiri selama 14 hari.

Alasan yang diberikan sangatlah mudah. Dan jikalau semudah itu alasan yang diberikan, kenapa rakyat lain yang didapati bersalah melanggar SOP terus dihukum penjara dan didenda beribu-ribu ringgit?

Adilkah? Atau keadilan itu sebenarnya berpihak kepada status seseorang?

Setelah isu tersebut hebat dibahaskan oleh warga maya barulah menteri tersebut memutuskan untuk memulangkan gajinya.

Bayangkan jika mak cik gelang pink sendiri yang menawarkan untuk memulangkan gaji, boleh diterima akal?

Kerana mak cik itu bukan menteri? Bagaimana jika mak cik tersebut memberi alasan bahawa dia sudah disaring dan keputusan adalah “negatif”, adakah rejim pemerintah akan melayan mak cik tersebut seperti mana menteri itu dilayan sekarang ini?

Terima kasih diucapkan kepada arus globalisasi yang menjadikan orang ramai semakin berfikiran kritis dan sentiasa mempersoalkan ketidaktelusan.

Kritikan yang ingin dibangkitkan di sini adalah berkenaan dengan isu ketidakadilan yang secara jelas telah meruntuhkan modal sosial di kalangan orang awam terhadap institusi-institusi yang sedia ada.

Bayangkan jika RUU355 itu dilaksanakan, sejauh manakah objektif keadilan itu boleh dicapai? Isunya adalah posisi keadilan itu sendiri.

Parti yang kononnya mendendangkan agenda pemerkasaan Islam dan Melayu siang dan malam tanpa henti tiba-tiba apabila didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip undang-undang terus mendiamkan diri dan berhempas pulas mencari alasan yang tidak masuk akal demi untuk menyelamatkan tengkuk sendiri.

Bahkan pula ada rakan dari parti politik yang berbeza turut menyatakan sokongan dengan memberikan dalil berkenaan dengan “setiap anak Adam melakukan kesalahan di muka bumi”.

Memang benar setiap anak Adam AS memang tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan cuma persoalan fundamental kenapa perlu layanan undang-undang yang berbeza.

Begitu mudah sekali jalan penyelesaian yang diambil. Bagaimana pula jika yang melanggar SOP itu datangnya dari ahli parti lawan, adakah dalil sedemikian rupa akan turut disajikan kepada parti lawan tersebut?

Pesan Nabi Muhammad

Paling kurang pun demonstrasi akan dipanggil dan akan dipaksanya parti lawan itu meletakkan jawatan dan seperti biasa modal Melayu dan Islam akan diperhangatkan sehinggakan ingin ditanam di jirat.

Jadi orang ramai boleh menilai sejauh manakah “konsep” keadilan yang cuba untuk diposisikan dan dipamerkan oleh parti yang menjuarai isu-isu berkaitan Islam.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berkata (bermaksud):

Jikalau Fatimah sendiri didapati mencuri, potonglah tangan beliau.” (HR Bukhari, no 6788 dan Muslim no 1688).

Hadis ini berstatus sahih dan hadis ini dengan jelasnya menunjukkan bahawa baginda sendiri tidak memilih kasih walaupun melibatkan darah daging beliau sendiri.

Jadi di sini, konsep keadilan yang cuba dibawa oleh Nabi SAW ternyata berbeza dengan konsep keadilan yang cuba dibawa oleh sesuatu parti politik itu.

Konsep keadilan yang sebenarnya menurut Islam adalah keadilan yang tidak pernah mengenal latar belakang etnisiti, yang tidak pernah mengenal status ekonomi (kaya atau miskin), dan juga tidak pernah mengenal ideologi kepartian.

Bagaimana hendak melaksanakan RUU355 jikalau mentaliti sempit seperti yang dipamerkan oleh menteri yang langgar SOP tersebut terus mendominasi piramid kasta keadilan itu?

Bagaimana jikalau seseorang itu didapati bersalah di bawah undang-undang RUU355 dan orang itu datang parti yang menjuarai undang-undang tersebut? Adakah RUU355 tersebut akan dilaksanakan terhadap orang itu?

Adakah orang tersebut akan kebal terhadap RUU355 kerana dilindungi jubah kepartian tertentu? Adakah dengan dihujani pelbagai jenis dalil barulah boleh dibuktikan orang itu sememangnya tidak bersalah?

Kalau sistem keadilan ini semudah itu, barangkali kita tidak memerlukan sistem kehakiman kerana dengan dengan hanya satu atau dua dalil sahaja boleh membuktikan seseorang itu tidak bersalah.

Malah ada beberapa ulama tempatan sendiri yang menyatakan bahawa orang ramai tidak boleh langgar perintah kawalan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Ironinya, menteri yang sebahagian dari ulil amri itu sendiri tidak mempamerkan contoh yang boleh dijadikan sebagai ikutan dan tauladan kepada orang ramai.

Isu tidak patuh dan ingkar SOP ini adalah satu petanda awal bahawa sememangnya pelaksanaan RUU355 ini perlulah difikirkan beribu kali dan bukan kerana ia tidak sesuai untuk dilaksanakan tetapi berbalik kepada kesungguhan kepartian yang memegang tampuk kekuasaan itu.

Jikalau mereka ini yang duduk di koridor kuasa boleh mentafsirkan undang-undang mengikut logik mereka sendiri dengan membelakangkan peraturan yang telah ditetapkan maka kita boleh bayangkan apa nasib rang undang-undang tersebut apabila dikelolakan oleh orang yang sedemikian rupa.

Adakah ini semua salah DAP? Tepuk dada tanya selera.


DR ARIFF AIZUDDIN AZLAN adalah seorang pensyarah kanan sains politik di salah sebuah universiti tempatan.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.