Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jamal Yunos beri keterangan di Bukit Aman

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hadir ke Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung penghantaran memorandum berkaitan kegiatan judi yang diserahkannya di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, minggu lepas.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Terdahulu, Jamal dilihat tiba di Bukit Aman kira-kira 3.45 petang sebelum masuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Menurut Mior Faridalathrash, Jamal disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Jamal dilaporkan menyerahkan satu memorandum yang ditujukan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador antara lain menggesa polis membongkar premis serta kegiatan judi yang semakin berleluasa dalam negara.

Memorandum berkenaan turut menggesa polis membuka semula kertas siasatan berhubung tindakan Jamal melakukan serbuan ke atas dua unit premis perjudian di Taman Kosas, Ampang di Kuala Lumpur, pada 29 Dis 2016.

- Bernama