Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia cuba pujuk UAE selesaikan isu berkaitan 1MDB - laporan

Putrajaya dijangka cuba meyakinkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menyelesaikan pertikaian yang berkaitan dengan 1MDB, menurut laporan Straits Times Singapura.

Akhbar itu, yang memetik eksekutif kewangan dan peguam yang mengetahui perkara itu, berkata pendirian Malaysia akan merangkumi soal "pampasan kewangan".

Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein, menurut laporan itu, akan ke Dubai minggu ini untuk "menyelesaikan kompromi" terhadap pertikaian yang difailkan Malaysia di London berhubung keputusan timbang tara yang memihak kepada International Petroleum Investment Company (Ipic).

Pada tahun 2017, Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London memberikan award persetujuan (consent award) yang Malaysia harus membayar AS$5.78 bilion (RM24.15 bilion pada kadar hari ini) kepada Ipic berhubung perjanjiannya dengan 1MDB.

Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mencabar award persetujuan pada Oktober 2018 dengan alasan bahawa perjanjian 1MDB dengan Ipic adalah hasil penipuan.

Pada masa itu, AS$1.46 bilion (RM6.1 bilion) telah dibayar kepada Ipic dan pembayaran berkala mesti dilakukan sehingga April 2022.

Kedua-dua perjanjian dengan Ipic dan perjanjian penyelesaian disepakati ketika Najib Abdul Razak menjadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Pada 3 Ogos, bekas setiausaha politik menteri kewangan dan ahli parlimen Damansara Tony Pua mendakwa cabaran undang-undang Malaysia mungkin diancam oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sekarang dan beliau mendesak Hishammuddin untuk bersikap adil dalam masalah ini.

Walaupun Hishammuddin berdiam diri, Peguam Negara Idrus Harun mengatakan bahawa prosiding mahkamah di London untuk membatalkan perjanjian penyelesaian 2017 masih belum ditarik.

Bulan lalu, Putrajaya mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs mengenai satu lagi perjanjian berkaitan 1MDB yang menyaksikan bank itu bersetuju untuk mengembalikan wang tunai dan aset AS$3.9 bilion, turun daripada AS$7.5 bilion yang diminta oleh kerajaan PH.

Sebagai pertukarannya, Malaysia menggurkan pertuduhan terhadap bank itu, yang membantu mengumpulkan US $ 6.5 bilion untuk 1MDB.

Sebilangan besar wang itu didakwa telah disalah guna, termasuk menurut pihak pendakwaan sebahagiannya berakhir di dalam akaun bank Najib.

[Baca berita asal]