Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MB: 88% pemilik tanah di Pahang tak terbeban kadar cukai tanah baru

Kira-kira 88 peratus pemilik tanah di Pahang ini tidak terbeban dengan pelaksanaan kadar cukai tanah baru yang berkuat kuasa tahun ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau menegaskan kenaikan kadar cukai yang dibuat selepas lebih 12 tahun itu, tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya telah melalui proses kajian menyeluruh dengan pertimbangan masih diberikan kepada mereka yang layak, selepas membuat rayuan.

Kenaikan itu, menurut Wan Rosdy juga berdasarkan keputusan kerajaan Persekutuan yang meminta kadar lama dikaji semula dan jika kadar baru tidak dilaksanakan tahun ini, kerajaan negeri perlu menunggu sehingga 10 tahun lagi sebelum kajian semula dapat dilakukan.

"Kadar cukai baru tidak membebankan kerana pemilik tanah pertanian atau rumah kurang 10 ekar (4.05 hektar) tidak terkesan, iaitu sebanyak 88 peratus. Malah, isu ini tidak timbul pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini atau tempat lain saya pergi kerana kita beri pertimbangan sewajarnya sebelum keputusan dibuat," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di Kuantan hari ini, bagi menjawab soalan tambahan Leong Yu Man (PH-Triang) yang ingin tahu jika kerajaan negeri bercadang mengurangkan kadar cukai tanah mengambil kira keadaan pandemik wabak Covid-19.

Terdahulu, Wan Rosdy memaklumkan bahawa kerajaan negeri mengutip cukai tanah berjumlah RM198.44 juta setakat 16 Ogos lalu, meningkat daripada RM84.12 juta untuk tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Untuk membuktikan pertimbangan kerajaan negeri dalam isu itu, Wan Rosdy merujuk kepada kadar baru di kawasan perindustrian Gebeng di Kuantan, yang daripada 25 sen semeter persegi pada asalnya dinaikkan kepada RM5 namun telah dikurangkan kepada RM1 dan kini menjadi 70 sen semeter persegi, iaitu remisen atau pengurangan lebih 80 peratus.

"Saya juga hendak memaklumkan daripada kenaikan yang dibuat, kita tahu ada syarikat yang mendapat tanah namun tidak membangunkan tanah yang diberikan.

"Tapi mereka datang semula meminta tanah lain. Kita beritahu mereka perlu membangunkan tanah itu dahulu dan bila sudah maju, baru boleh buat permohonan baru," katanya.

Menjawab soalan Leong sama ada kerajaan negeri bercadang untuk mewartakan remisien yang telah diberikan supaya rakyat terus menikmati pengurangan itu pada masa hadapan, Wan Rosdy berkata perkara itu bergantung kepada situasi semasa.

Pada persidangan itu, Wan Rosdy turut menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Semambu) mengenai perkembangan terkini 11 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan pelaburan bernilai RM1.134 bilion yang ditandatangani Pahang Investment Forum 2019 di Singapura, pada Ogos 2019.

Menurut Wan Rosdy, tahap kejayaan setakat ini ialah 81.8 peratus dengan satu projek bernilai RM30 juta telah dilaksanakan, dua projek bernilai RM200 juta dalam proses akhir perjanjian manakala tiga projek bernilai RM278 juta di peringkat kajian perancangan akhir.

"Tiga lagi projek bernilai RM76 juta masih dalam tindakan syarikat dan kelewatan ini berlaku kerana pelabur tidak dapat memasuki Malaysia ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Dua lagi projek telah digugurkan atas alasan kegagalan mendapatkan dana pelaburan daripada rakan kongsi syarikat di China dan pihak syarikat tidak bersetuju dengan lokasi tanah di Cameron Highlands," katanya.

- Bernama