Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PKR: Pengundi mahu masalah diatasi, bukan penceramah nama besar

PRK SLIM | Tidak kira calon mana yang bakal menang pada 29 Ogos ini, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang menggesa Adun terbabit menunaikan janji kepada pengundi yang sebenarnya cenderung mahu masalah tempatan mereka diselesaikan berbanding mendengar ucapan atau ceramah pemimpin politik.

"Saya tak fikir pengundi tertarik untuk hadir mendengar ceramah pemimpin utama kedua-dua parti dan kerana mereka gagal menarik minat ramai setakat ini.

"Pengundi lebih tertarik dengan isu harian seperti kekangan tanah pertanian, kurangnya peluang pekerjaan, masalah perumahan untuk pekerja ladang dan pekerja yang terlalu bergantung dengan harga komoditi," kata Chang kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika ditanya berhubung ketiadaan pemimpin kanan PKR membantu calon bebas disokong pembangkang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

"Saya rasa kempen masih di peringkat suam-suam kuku berbanding PRK lain. Mungkin disebabkan Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan," kata Chang yang juga merupakan anggota parlimen Tanjung Malim.

"Saya sudah katakan dari awal, Slim ini cabaran besar untuk pembangkang," tambahnya.

Slim terletak dalam Tanjung Malim - sebuah kawasan parlimen yang memang menjadi kerusi tradisi MCA sejak 1959 sehinggalah Chang menamatkan tradiri itu pada 2018.

Ada pemimpin akan datang

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya selama empat penggal Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Julai.

Berdasarkan corak pengundian pada pilihan raya umum (PRU) 2018, ramai pihak menjangkakan mana-mana calon yang diletakkan BN akan mendapat kemenangan mudah di situ.

Pada PRU lalu, Mohd Khusairi mempertahankan kerusi DUN Slim dengan mengalahkan calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim dan Muhammad Zalfadli Zainal (PAS), dengan majoriti 2183 undi.

Dalam keadaan PAS dan Umno bergabung, undi kedua-dua parti itu kini merangkumi 65 peratus daripada keseluruhan pengundi di Slim.

Untuk rekod, majoriti pengundi Slim terdiri daripada Melayu (75 peratus), diikuti India 13 peratus dan Cina 10 peratus.

Pada PRU lalu, dua daripada tiga kerusi DUN di bawah parlimen Tanjung Malim - Sungkai dan Behrang - kekal bersama Pakatan Harapan (PH), manakala Slim setia kepada Khusairi dan Umno.

"Selain saya dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Senator Yaakob Sapari juga dijadual untuk datang berkempen.

"Saya rasa ramai lagi akan hadir ketika hari mengundi semakin hampir nanti," katanya.

Dapat peruntukan kerajaan PH

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Murbarak - yang sebelum ini awal-awal lagi mengumumkan parti itu akan bertanding di Slim - juga dilihat senyap sejak keputusan dibuat untuk memberi laluan kepada calon pilihan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Ditanya adakah pengumuman bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali dan beberapa bekas pemimpin parti itu menyertai Bersatu akan memberi kesan kepada PRN ini, Chang menolak sebarang kemungkinan tersebut.

"Azmin dan sekutu tidak relevan untuk PRK Slim," katanya.

Untuk rekod meskipun pengundi Slim kekal bersama Umno sejak sekian lama, perlu dinyatakan tahap kemajuan kawasan tersebut masih perlahan.

Chang Lih Kang

Misalnya penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Teras masih perlu mendapatkan bekalan air dari perigi dan mengunakan generator, lampu minyak, dan lilin untuk menerangi kegelapan malam.

Di Pekan Trolak yang terletak kira-kira 7km dari bandar Slim River, pengundi mengadu mengenai masalah banjir berpanjangan yang terpaksa dihadapi mereka sejak 1968.

Tahun lepas, Chang membawa isu banjir di pekan Trolak ke Dewan Rakyat selepas kawasan itu dinaiki air pada 18 dan 19 Okt.

Pada 19 Nov, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli pada ketika itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji mengambil maklum berkenaan masalah tersebut.

Katanya dana untuk mengatasi masalah itu akan diberikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) untuk Jabatan Pengairan dan Saliran.

Tengku Zulpuri juga berkata, dana tersebut akan merangkumi pelan mitigasi banjir Sungai Trolak untuk Kampung Trolak Pekan dan pelan mitigasi banjir Sungai Klah untuk Kampung Felda Trolak Utara dan Kampung Klah Baru.

Tidak jelas adakah pelan tersebut akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional sekarang.

[Baca berita asal]