Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lelaki rayu dibenarkan lawat isteri kritikal di hospital sewaktu kuarantin

Tatkala hangat isu kegagalan seorang menteri menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara, salah seorang rakyat Malaysia yang kini menjalani kuarantin 14 hari merayu kepada Kementerian Kesihatan supaya tempoh itu disingkatkan agar dapat melawat isterinya yang sedang kritikal di hospital.

Lee Kwei Cheong yang kini menjalani kuarantin di Hotel Armada, Johor Bharu selepas pulang dari Singapura atas urusan kerja terpaksa meminta bantuan itu melalui Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

"Sebab tu saya minta menteri kesihatan benarkan (teruskan) kuarantin dan saya minta (pertolongan) dari YB (Lim Lip Eng)," katanya menerusi panggilan video sewaktu sidang media di pejabat DAP Kepong, Kuala Lumpur hari ini.

Lebih teruk, Lee berkata dia kini kehilangan pekerjaan sebagai juruteknik di sebuah kilang elektronik di Singapura selepas 18 tahun berkhidmat.

Lelaki berusia 44 tahun itu berkata, isterinya Cheah Chan Lian, 39 pada mulanya menghidap denggi dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor sebelum dibenarkan pulang.

Bagaimanapun, Cheah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas didapati mempunyai jangkitan darah.

Cheah bagaimanapun terpaksa dipindahkan ke Hospital Pantai di Cheras untuk rawatan pakar dan kemudian kini di Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya.

"Sekarang ni doktor mendapati darah isteri saya mempunyai virus dan ia merebak je jantung, paru-paru dan sekarang merebak ke otak," kata Lee.

Menurutnya, tiga orang anaknya yang berusia 12, 14 dan 16 tahun terpaksa berhenti sekolah buat seketika sejak ibunya dimasukkan ke hospital pada 14 Julai, iaitu kali kedua Cheah dimasukkan ke hospital.

Lee berkata proses tersebut tertangguh kerana urusan untuk pertukaran sekolah dari Johor Bharu ke Kuala Lumpur, memerlukan dirinya sebagai penjaga.

Anak-anaknya kini tinggal bersama saudaranya di Kuala Lumpur.

"Saya terpaksa pinjam duit dari kawan-kawan, keluarga untuk teruskan hidup," katanya.

Mengadu nasibnya, Lee memberitahu selepas hilang pekerjaan sejak Mac lalu, dia juga perlu menanggung RM60,000 untuk kos perubatan isterinya sahaja.

Katanya, itu tidak termasuk kos lain seperti RM2,100 bagi kos kuarantin di hotel selama 14 hari.

Dia yang diberhentikan kerja sewaktu Malaysia dan Singapura berdepan dengan lonjakan kes jangkitan Covid-19 turut menanggung kos sewa penempatannya di Singapura sebelum pulang merentasi negara.

Hari ini merupakan hari ke-11 dia menjalani tempoh kuarantin.

Difahamkan, dia menyeberangi sempadan Malaysia di Johor Bharu dengan berjalan kaki sebelum menjalani tempoh kuarantin di JB.

Berat sebelah

Lee turut mempersoalkan mengapa terdapat tindakan berat sebelah di antara rakyat biasa dan seorang menteri yang pulang dari luar negara.

"Kenapa kita tak boleh bayar saman RM1,000 saja tapi tak perlu kuarantin?, soalnya sambil mengatakan terdapat kira-kira 500 orang sedang menjalani kuarantin di hotel tersebut.

"Tak adil kenapa menteri tak payah kuarantin, kami kena?," katanya yang merujuk kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali

Isu pelanggaran kuarantin Khairuddin mula-mula dibangkitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok di Parlimen pada 18 Ogos.

Kok turut mendedahkan bahawa Khairuddin menghadiri lebih 12 program dan mesyuarat sejurus pulang dari Turki pada 8 Julai.

Khairuddin sebelum ini mempertahankan dirinya dengan berkata kebenaran yang diberikan untuknya memasuki Istana Negara pada 17 Ogos lalu merupakan bukti dia negatif Covid-19.

Sementara itu, dalam sidang media tersebut, Lim juga mencadangkan supaya Khairuddin didakwa selepas melanggar perintah kuarantin selepas pulang dari lawatan ke Turki sejak 7 Julai lalu.

"Khairuddin telah memohon maaf semalam dan pada hemat saya, permintaan maaf itu diterima tetapi dia masih perlu didakwa atas pelbagai salah laku yang dia telah lakukan sejak 7 Julai sehingga semalam," katanya.