Air mata gembira sambut kepulangan Rayhan
Air mata kegembiraan menyambut ketibaan warga Bangladesh Mohd Rayhan Kabir di Lapangan Terbang Antarabangsa Dhaka pagi ini, setelah perpisahan panjang yang berakhir dengan penangkapan dan penahanannya selama tiga minggu di pusat tahanan Imigresen Malaysia.
Akhbar Bangladesh The Daily Star melaporkan bahawa ayah Rayhan, Shah Alam, berada di lapangan terbang untuk menunggu ketibaan anaknya yang dijadual tiba dari Kuala Lumpur pada pukul satu pagi, setelah diusir dari Malaysia tanpa sebarang tuduhan berhubung penglibatannya dalam dokumentari kontroversi berkenaan migran.
"Kami dengan teruja menunggu anak kami pulang ke pangkuan.
"Dia di sini sekarang. Kita masih dalam bulan lebaran (Aidiladha)," kata Shah Alam seperti dipetik.
The Daily Star melaporkan suasana penuh emosi penyatuan dua beranak itu, sebelum mereka berangkat pulang ke kampung mereka di Narayanganj, Dhaka.
"Saya tidak dapat menjelaskan kegembiraan ini. Berapa kali saya pergi dan pulang dalam enam tahun ini. Kali ini ia terasa berbeza," kata Rayhan.
"Bangladesh saya, tanah air saya, ibu dan bapa saya ... Saya tidak dapat menjelaskan perasaan ini kepada sesiapa pun.
"Terima kasih kepada anda semua, kepada semua yang berada di sisi saya di dalam dan luar negara," kata Rayhan yang mencetuskan kemarahan ramai warga Malaysia berhubung kenyataannya yang dipaparkan dokumentari Al Jazeera bertajuk "Locked Up in Malaysia's Lockdown".
Sebelum ini Rayhan berkata apa yang dinyatakannya dalam wawancara itu berdasarkan pemerhatian peribadi, termasuk pengalamannya sendiri.
"Saya tidak mahu mengubah diri. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk berkhidmat kepada orang," katanya lagi.
Dia ditahan di Setapak, Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu setelah Jabatan Imigresen meminta bantuan awam untuk mengesan individu yang muncul dalam dokumenteri itu.
Dalam dokumentari itu, Md Rayhan berbicara mengenai layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap warga asing tanpa dokumen semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penyebaran COVID-19.
Terdahulu, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud mengumumkan Md Rayhan akan dihantar pulang ke negara asalnya setelah siasatan polis selesai, selain membatalkan permit kerjanya dan memasukkannya dalam senarai hitam dari memasuki Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai