Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seminggu berlalu, kurang pemimpin PH berkempen di Slim

PRK SLIM | Tamat seminggu kempen, keadaan di lapangan membayangkan BN meluaskan jurang antara calonnya, Mohd Zaidi Aziz dengan calon bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang disokong Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Umno memang dianggap pendahulu dengan mengambil kira rekod lalu di DUN itu dan demografi pengundi Melayu sebanyak 75 peratus. Ia diikuti dengan pengundi India (13 peratus) dan Cina (10 peratus).

Dengan seminggu lagi sebelum hari mengundi pada 29 Ogos, BN dilihat meningkatkan kempennya dengan sejumlah pemimpin utama parti komponen hadir ke sana.

Amir pula berdepan kesukaran dengan kurangnya sokongan daripada pemimpin utama PH.

Bagi menukar keadaan, dia perlu melakukan sesuatu yang istimewa.

Bagaimanapun kempen Zaidi juga berdepan masalah sendiri terutama dengan rasa tidak senang akar umbi Umno untuk menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional, yang terlihat ketika program BN yang dihadiri pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.

Zaidi

Ketika itu, hadirin yang terdiri daripada pemimpin pemuda dan anggota Umno peringkat bahagian menyorak 'boo' wakil Pemuda Bersatu.

Malah Zahid kemudian mencabar Bersatu untuk membuktikan kekuatannya dengan mendapatkan sekurang-kurangnya 6,000 undi untuk Umno. Jika ia gagal dicapai, kata Zahid, Umno patut menyoal nilai kerjasama dengan Bersatu.

Pemerhati melihat sukar untuk Bersatu berbuat demikian dalam PRK ini.

Ketika PRU 2018, calon Umno Mohd Khusairi Abdul Talib menang setelah mendapat 8,327 undi. Calon Bersatu mendapat 6,144 undi manakala calon PAS 4,103 undi. Ada kebarangkalian pengundi yang memilih Bersatu ketika itu akan menyokong Amir yang disokong PH dan Mahathir - tarikan utama untuk Bersatu pada PRU lalu.

Umno dan PAS telah setuju untuk menerima Bersatu dalam Muafakat Nasional di sebalik bantahan yang ditunjukkan antaranya oleh Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Apabila ditanya berkenaan kerjasama Bersatu-Umno dalam PRK ini, Zaidi yang merupakan pemangku ketua Umno Tanjung Malim menyangkal dakwaan pergeseran dengan berkata Bersatu telah menyuarakan sokongan penuh kepadanya.

BN bangkit isu calon tempatan

Dalam kempen setakat ini, BN memainkan isu berkenaan Amir yang bukan orang tempatan.

Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak yang Amir - disifatkannya sebagai 'mewakili Atuk', merujuk kepada Mahathir - datang dari Teluk Intan dan tidak kenal penduduk di kawasan DUN itu.

Najib juga dilihat cuba meraih simpati apabila mendakwa RM42 juta dana berkaitan SRC International - di mana dia disabitkan bersalah dalam tujuh pertuduhan - digunakan untuk Umno, anak yatim dan tahfiz.

Dia meminta pengundi menerjemahkan simpati mereka terhadapnya dengan mengundi Zaidi.

Amir pula menegaskan walaupun dia bukan orang tempatan, kawasan tersebut dekat dengan hatinya.

"Malah jiran kami ialah Junus Wahid yang merupakan Adun Slim pada masa itu," katanya. Allahyarham Junus memegang kerusi itu sejak 1986 hingga 2004.

Dia juga berseloroh apabila mengatakan pengundi boleh menarik telinganya jika tidak dapat berjumpanya selepas diberi mandat menjadi wakil rakyat.

Amir

Bagaimanapun setakat ini hanya pemimpin Pejuang seperti Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik serta pemimpin Amanah Khalid Samad yang dilihat hadir berkempen untuk Amir, walaupun dia mendapat sokongan pemimpin PH Perak.

Ini membayangkan pemimpin utama PH tidak sanggup turun ke medan dalam keadaan yang tidak berpihak kepada pembangkang. Bagi pejuang pula, masih tidak pasti sama ada parti itu mampu meraih sokongan majoriti pengundi dengan mengambil kira keadaan politik semasa dan kedudukannya sebagai parti baru.

Amir memerlukan rangsangan sokongan daripada pemimpin utama dalam hari-hari terakhir kempen untuk mendekatkan jurang dengan Zaidi.

PRK ini turut disertai seorang lagi calon bebas, iaitu S Santharasekaran tetapi dia setakat ini belum membuat sebrang impak dan kemungkinan besar akan hilang deposit.

Berdekad masalah pembangunan

Tahap sokongan Umno di Slim menarik untuk diperhatikan apabila mengambil kira sejumlah isu di kawasan itu, seperti bekalan elektrik dan air serta masalah banjir, terutama di kampung-kampung Orang Asli.

Di saat negara menuju Revolusi Industri 4.0, masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Teras masih perlu mendapatkan bekalan air dari telaga, selain menggunakan generator, lampu minyak tanah dan lilin di waktu malam.

Di Pekan Trolak pula, iaitu kira-kira tujuh kilometer dari bandar Slim River, penduduk sekian lama merungut tentang banjir kilat yang sering melanda.

Kuan Ah Song, 72, berkata dia berdepan masalah itu sejak 1960-an. "Saya masih ingat pada 1968, kali pertama kami dilanda banjir besar.

"Sejak itu, ia tak pernah diselesaikan. Setiap kali hujan lebat, akan berlaku banjir kilat dan keadaan semakin buruk beberapa tahun kebelakangan," katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas perkara itu, Zaidi berkata masalah banjir adalah antara isu tumpuannya dan ia perlu diselesaikan segera.

Pengundi yang tidak senang melihat amalan lompat parti juga membayangkan mereka tidak akan lagi mengundi berdasarkan parti politik, sebaliknya akan memilih calon yang mampu menyelesaikan masalah mereka.

[Baca berita asal]