Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Covid-19: Adun gesa penjelasan maklumat bercanggah polis, MySejahtera

Adun Subang Jaya, Michelle Ng menggesa kerajaan menjelaskan maklumat yang bercanggah daripada pihak polis dan aplikasi MySejahtera mengenai dakwaan penularan kes Covid-19 di kawasan itu.

"Saya ingin meminta kerajaan Malaysia memberikan penjelasan mengenai keadaan yang sebenarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ng berkata, penduduk Subang Jaya menerima pemberitahuan berkenaan melalui aplikasi MySejahtera semalam yang memaklumkan terdapat kes Covid-19 berhampiran Empire Shopping Gallery, Subang Parade dan Mydin USJ.

Terdapat juga mesej tular di media sosial yang meminta orang ramai menghindari pusat-pusat membeli-belah berkenaan kerana dikatakan terdapat wabak Covid-19.

Bagaimanapun polis menafikan perkara itu dengan mengatakan mesej tersebut adalah palsu dan tidak benar.

Ng berkata, pihak pengurusan Subang Parade juga telah mengeluarkan kenyataan yang mengatakan mereka telah menyemak dengan Kementerian Kesihatan yang mengesahkan bahawa maklumat mengenai kes Covid-19 di kawasan sebagai palsu.

"Sehingga pagi ini, maklumat bahawa terdapat kes Covid-19 berhampiran Empire dan Subang Parade tidak lagi ada di aplikasi MySejahtera," katanya.

Semakan Malaysiakini semalam mendapati carian di "Empire Shopping Gallery" dan "Subang Parade" - yang berdekatan antara satu sama lain di aplikasi MySejahtera mendapati: "Terdapat laporan mengenai kes Covid-19 dalam radius 1km dari carian anda dalam 14-28 hari lalu. "

Carian di Mydin USJ semalam juga memberikan hasil serupa yang mengatakan bahawa Covid-19 telah dikesan di sekitarnya dalam tempoh 14 hari lalu. 

Aplikasi berkenaan tidak menyatakan berapa banyak kes yang telah dikesan.

Bagaimanapun semakan pagi ini mendapati tiada lagi laporan mengenai kes Covid-19 di sekitar Empire Shopping Gallery atau Subang Parade, walaupun carian di Mydin memberikan hasil yang sama seperti semalam.

Sebagai rekod, aplikasi MySejahtera tidak memberikan lokasi tepat bagi kes Covid-19 atas alasan privasi perubatan.

Sebagai gantinya, ia memberitahu pengguna sama ada kes Covid-19 telah dilaporkan dalam jarak satu kilometer dari lokasi yang dimasuki oleh pengguna.

Ng berkata kerajaan mahu menjadikan aplikasi MySejahtera sebagai sumber rujukan utama masyarakat mengenai penularan Covid-19.

Katanya, kerajaan juga mewajibkan penggunaan aplikasi berkenaan di semua premis perniagaan dan mewajibkan orang ramai memuat turun aplikasi itu untuk menebus baucar e-dompet Penjana bernilai RM50.

"Dengan usaha meletakkan aplikasi MySejahtera sebagai sumber rujukan utama di Malaysia, penting untuk memastikan bahawa semua maklumat di aplikasi tersebut 100 peratus tepat untuk menghindari rasa panik di kalangan masyarakat," kata Ng dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah untuk memberi penjelasan mengenai perkara ini dan sedang menunggu jawapannya.