'Ahli Pemuda DAP akan bertanggungjawab tampal pelekat bahasa Cina'
Ahli Pemuda DAP yang terlibat menampal pelekat tulisan Cina ke tiga papan tanda jalan di Kuching akan bertanggungjawab atas kesalahan mereka, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.
Bagaimanapun, Yii berkata gesaan Majlis Bandaraya Kuching Utara (DBKU) supaya mereka disiasat berdasarkan peruntukan yang membenarkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun adalah melampau.
"Kami telah berbincang dengan mereka yang terlibat dan mereka akan bertanggungjawab atas tindakan mereka termasuk membayar semua denda yang diperlukan. Bahkan kami menggalakkan mereka menawarkan diri untuk aktiviti khidmat masyarakat demi kebaikan bandar raya kami.
"Tetapi untuk meminta mereka ini disiasat dan didakwa atas tuduhan salah laku di bawah Seksyen 427 (Kanun Keseksaan) yang membawa hukuman penjara satu tahun hingga lima tahun, termasuk denda, pada pandangan saya mungkin melampau,” kata pembantu setiausaha DAP Sarawak dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, DBKU menuntut Pemuda DAP Sarawak membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menampal pelekat itu di papan tanda jalan dan meminta supaya ia segera dibuang.
Menurut Bernama, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Abdul Rahman Junaidi memberitahu sidang media hari ini bahawa DBKU telah membuat laporan polis mengenai isu tersebut hari ini.
"Tidak kira apa pun motif, sama ada tersurat ataupun tersirat, DBKU berharap mana-mana pihak tidak mengulangi tindakan yang jelas berbentuk provokatif dan menjejaskan keharmonian kaum di bandar raya Kuching, DBKU juga berharap pihak terbabit akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini," kata Abdul Rahman.
Dalam satu kenyataan yang berasingan, DBKU mengatakan bahawa laporan polis tersebut dilakukan untuk menggesa supaya siasatan dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Dikatakan bahawa merosakkan papan tanda jalan juga merupakan pelanggaran undang-undang kecil bandar raya yang berkaitan dengan kebersihan.
Semalam, sekumpulan anggota Pemuda DAP Sarawak yang diketuai oleh bekas ahli parlimen Stampin, Julian Tan itu turut ditularkan di media sosial dan telah mengundang pelbagai komen daripada netizen.
Ia melibatkan papan tanda Jalan Main Bazaar, Lebuh Wayang dan Jalan Green Hill.
Pulih papan tanda dwibahasa terdahulu
Tindakan tersebut mengundang kritikan dengan menyifatkan bahawa langkah tersebut tidak sensitif dalam masyarakat majmuk, tetapi Tan dilaporkan berkata bahawa tindakan itu dilakukan dengan niat baik untuk memulihkan papan tanda dwibahasa yang ada sebelumnya.
"Main Bazaar adalah tempat bersejarah dan ikonik, dan tempat pelancongan. Tanda jalan dwi bahasa sebelum ini ada dan kemudian ia hilang.
"Apa yang dilakukan oleh Pemuda Sarawak adalah membaiki papan tanda jalan itu. Isu papan tanda jalan sudah ada dan SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) tahu mengenainya.
"Presiden SUPP Dr Sim (Kui Hian), yang merupakan menteri Cina dalam kabinet negeri, tahu tentang masalah itu dan mereka tidak melakukan apa-apa," katanya dipetik laporan Borneo Post.
Sementara itu, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee menggesa rakan sejawatnya dalam PKR dan Amanah untuk berunding dengan pucuk pimpinan masing-masing di Sarawak terlebih dahulu sebelum kritikan berbaur serangan ditujukan kepada pemuda DAP.
"Berkaitan isu papan tanda di bandaraya Kuching Sarawak yang kebelakangan ini menjadi topik hangat, kami merayu supaya kita menghormati perbezaan sosio-budaya di antara Wilayah Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
"Kita tidak semestinya membaca segala isu melalui kanta dan fahaman semenanjung, khususnya berkaitan isu-isu melibatkan budaya setempat. Perlu dimaklumkan bahawa papan tanda jalan yang juga memaparkan bahasa Cina telah lama menjadi ciri istimewa di bandar raya Kuching, yang baru-baru ini diubah,” katanya.
Tambahnya, kepimpinan Pemuda DAP menghormati autonomi Sarawak, begitu juga dengan DAP Sarawak dan pimpinan pemuda negeri itu.
Terdahulu, pemimpin Pemuda Amanah dan PKR telah meminta supaya Pemuda DAP Sarawak untuk memohon maaf atas tindakan mereka.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai