KKM jelaskan sebab warga Perancis asalnya dibenarkan kuarantin di rumah
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seorang warga Perancis yang dikesan memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL), Kedah, dimasukkan ke stesen kuarantin di Langkawi pada 7.30 petang semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati warga asing yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8.25 pagi semalam itu, termasuk dalam Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
"Dia (warga Perancis) termasuk dalam MM2H dan pada awalnya diberi kelonggaran menjalani kuarantin di kediamannya di Langkawi berdasarkan kepada syarat MM2H yang dikeluarkan pada 25 Jun lepas.
"Namun, memandangkan mulai 24 Julai lepas kerajaan mewajibkan semula semua pengembara yang tiba di Malaysia untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin, maka syarat mengenai kuarantin di rumah bagi MM2H adalah terbatal," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata demikian sebagai respons terhadap pertanyaan warganet di laman Twitter yang membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan terdapat perubahan dari segi prosedur operasi standard susulan laporan media menyebut warga asing itu mendapat kebenaran membuat kuarantin kendiri di rumah.
Terdahulu, individu itu didapati tidak bergejala dan ujian saringan Covid-19 di KLIA mengesahkannya negatif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan penerbangan domestik ke Langkawi.
Dr Noor Hisham berkata setibanya di LTAL, pengembara itu ditahan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana memakai gelang merah jambu yang memberi indikasi statusnya sebagai individu di bawah pengawasan (PUS) dan berada di kawasan awam.
"Susulan itu, pengembara ini dimasukkan ke stesen kuarantin di Langkawi semalam pada 7.30 petang," jelasnya.
KKM mengucapkan terima kasih di atas kerjasama dan keprihatinan agensi lain dan rakyat dalam mengawal serta mencegah penularan Covid-19 malah kementerian akan sentiasa memastikan kesiapsiagaan selain respons terhadap pandemik ini dilaksanakan selari dengan keputusan semasa kerajaan, katanya.
Bernama hari ini melaporkan lelaki warga Perancis berusia 64 tahun itu telah diarah supaya menjalani kuarantin di Klinik Kesihatan Ayer Hangat.
Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata arahan itu dikeluarkan oleh KKM dan warga asing tersebut tidak dibenarkan menjalani kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai