Covid-19: Anak tanpa IC antara terkesan di Sabah - Bekas Adun
Kanak-kanak tanpa kad pengenalan atau lebih dikenali sebagai warga tanpa kerakyatan di Sabah antara yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Bekas Adun Elopura, Calvin Chong Ket Kiun berkata hal itu turut meningkatkan masalah sosial di Sabah
“Saya nak cakap, impak (kerana Covid-19) memang ada kerana banyak anak pendatang (tanpa kad pengenalan) ini hanya hidup dengan gaji harian dan sekarang ekonomi juga turut susah untuk majikan ambil mereka ini kerja.
“Dengan tidak dapat gaji hendak cari duit makan, jadi banyak masalah sosial... juga sudah nampak kerana mereka juga ada kehidupan kena jaga. Dengan tiada kerja bagaimana hendak sara diri,” katanya.
Calvin berkata demikian menerusi satu bicara mingguan atas talian yang bertajuk cabaran orang tanpa negara dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Forum yang dianjurkan oleh NGO CSO untuk perubahan itu turut dihadiri oleh aktivis hak asasi orang tanpa negara Sarawak, Musa Anak Ngog dan Farah Osman sebagai moderator.
Sementara itu, Calvin juga berharap kerajaan tetap berusaha untuk merekodkan dan memberikan status kepada anak-anak tanpa kad pengenalan ini.
Menyifatkan usaha itu sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS), Calvin bagaimanapun berkeras menyatakan hal ini dilaksanakan bukan untuk memberikan satu kad pengenalan kepada mereka.
Tambahnya, ini bagi mendapatkan satu rekod jumlah keseluruhan pendatang ini dan dapat mencari satu alternatif bagi menyalurkan bantuan kepada mereka.
“Saya ulang bukan mahu beri pendatang IC (kad pengenalan) tetapi satu status dan rekod tentang jumlah keseluruhan pendatang (tanpa kad pengenalan) yang berada di Sabah,” katanya lagi.
Pada 6 Sep tahun lalu, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah berkuat kuasa 1 Jun 2020.
Keputusan kerajaan itu dibuat berdasarkan saranan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 Sept 2019.
Bagaimanapun, pada 22 Jun lalu kerajaan Sabah telah membatalkan hasrat pelaksanaan PSS ekoran desakan yang timbul ketika PRK Kimanis 18 Jan lalu yang menyaksikan Warisan tewas kepada BN.
Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.
Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an. Selebihnya, diberikan kad Sijil Banci oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.
IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
BN dalam PRK Kimanis menggunakan PSS sebagai modal berkempen sehingga berjaya mempengaruhi pengundi menolak calon Warisan, Karim Bujang.
Bagaimanapun, keputusan mutlak untuk membatalkan pelaksanaan PSS hanya akan ditentukan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai