Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PM akan hadir kongres anjuran NGO berkait Azmin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka menghadiri kongres pada hari Sabtu yang dianjurkan oleh NGO yang berkaitan dengan Menteri Kanan, Mohamed Azmin Ali.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Penerangan NGO Nations of Women (NOW) Syarul Ema Rena Abu Samah yang memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi hari ini bahawa perdana menteri juga akan menyampaikan ucap tama pada majlis yang diberi nama "Kongres Negara".

Majlis ini anjuran NGO Pemuda Negara, NOW dan Penggerak Komuniti Negara semuanya dipimpin oleh bekas pemimpin PKR yang rapat dengan Azmin.

Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklumat lanjut tetapi masih belum mendapat maklum balas.

Awal hari ini, ketua sekretariat penganjur kongres itu, Muhammad Hilman Idham menyatakan pemimpin politik yang akan menghadiri majlis tersebut ialah Azmin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah.

Beliau tidak menyebut kehadiran Muhyiddin walaupun potret perdana menteri telah dipaparkan pada beberapa bahan promosi untuk majlis tersebut.

Kongres itu akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur serta akan mengumpulkan delegasi dan pemerhati dari seluruh negara membabitkan ketiga-tiga NGO pro Azmin itu.

"Objektif utama Kongres Negara adalah untuk menyemarak perpaduan dan kesatuan rakyat berteraskan prinsip-prinsip Rukun Negara.

"Kongres Negara juga akan mengupas dan membahaskan usaha-usaha pembangunan bangsa, ekonomi dan negara selain mendukung kebijakan serta dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” kata Hilman pada suatu kenyataan hari ini.

Katanya, kongres itu diadakan bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan.

Untuk rekod, Zuraida dan Saifuddin ialah antara bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah menjelang "Langkah Sheraton" pada akhir Februari menyebabkan keruntuhan kerajaan PH yang mentadbir tidak sampai dua tahun.

Hilman, yang juga setiausaha politik Azmin, dipecat daripada PKR tidak lama selepas "Langkah Sheraton."

Sejak itu, beberapa NGO ditubuhkan oleh bekas pemimpin PKR yang dilihat dekat dengan kem Azmin.

Azmin menafikan spekulasi NGO berkenaan akan berfungsi sebagai asas untuk penubuhan parti baru, manakala Presiden NOW Haniza Talha berkata NGO itu merancang untuk bertanding dalam pilihan raya.

[Baca berita penuh]