Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan Pahang takkan tunduk bantahan skim sahkan tanah haram dusun durian

Kerajaan negeri Pahang berkata ia tidak akan tunduk terhadap sesiapa sahaja yang membantah skim untuk mengesahkan dusun durian yang ditanam petani di tanah yang diduduki secara haram di Raub.

"Kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang menentang legalisation scheme (skim pengesahan pendudukan tanah di sisi undang-undang) ini. 

"Kerana, kerajaan negeri sudah lama kerugian dan bertolak ansur," kata Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Sallehudin Ishak ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau menjawab dakwaan oleh Save Musang King Alliance (Samka), sebuah kumpulan yang dibentuk oleh petani durian yang tidak mempunyai izin menduduki tanah di Raub.

Para petani mendakwa mereka telah berusaha untuk meminta hak milik tanah dan lesen daripada pihak berwajib selama bertahun-tahun tetapi sebagai gantinya, mereka ditawarkan "kontrak yang tidak setara" di bawah skim pengesahan ini.

Kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan tanah yang diduduki oleh petani secara haram akan dipajakkan kepada Royal Pahang Durian Produce-PKPP Sdn Bhd (RPDP-PKPP) untuk 'menghalalkan' pendudukan tanah secara haram itu.

Dilaporkan RPDP-PKPP merupakan usaha sama antara Royal Pahang Durian Group (RPD) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).

RPDP-PKPP dilaporkan telah diberi pajakan dan hak untuk menggunakan tanah seluas 5,357 ekar di Raub selama 30 tahun dan ditambah 30 tahun lagi.

Pada Julai lalu, RPD dan PKPP mengumumkan telah mendapat penyelesaian yang saling menguntungkan bagi para petani.

Dilaporkan pada waktu itu, petani durian ditawarkan sub-pajakan 10 tahun ditambah 10 tahun dan ditambah 10 tahun (dengan tambahan 30 tahun tertakluk kepada persetujuan pihak berkuasa negeri) untuk terus mengusahakan tanah di sana dan tidak dihalau kerana menduduki tanah secara haram.

Bagaimanapun, para petani mendakwa kontrak yang ditawarkan kepada mereka itu termasuk bayaran levi yang dikenakan terlalu tinggi, memerlukan izin untuk masuk ke dusun durian mereka, tidak diizinkan untuk berdagang dengan bebas atau berkongsi hasil tuaian mereka serta mungkin dipaksa untuk membayar pampasan sekiranya mereka memilih untuk berhenti bertani.

"Bayaran levi yang dikenakan sebanyak RM6,000 per ekar (dengan kira-kira 30 pokok durian yang matang) pada tahun 2020 akan dikenakan kepada petani. Dengan kata lain, seorang petani dengan tanah seluas 10 ekar perlu membayar sewa RM60,000 tahun ini.

"Sayangnya, atas nama 'menghalalkan tanah', syarikat swasta ini dapat dengan mudah memetik hasil kerja petani tanpa perlu bekerja keras sambil mengabaikan sepenuhnya usaha dan biaya yang dilakukan oleh para petani," kata Samka dalam satu kenyataan hari ini.

'Perhambaan moden' syarikat swasta

Mereka juga mendakwa petani wajib menjual hasil tuaian mereka kepada syarikat swasta itu dengan jumlah yang tetap pada setiap tahun.

Mereka juga didakwa tidak diizinkan untuk berdagang dan menuai hasil tuaian mereka dengan bebas serta ini termasuklah menyimpan hasil dusun untuk dikongsi dengan sahabat handai dan keluarga.

"Permit masuk diperlukan bagi para petani untuk masuk ke dusun durian mereka. Juga, para petani bahkan boleh dipaksa untuk membayar pampasan jika mereka memilih untuk berhenti bertani.

"Oleh itu, dengan menandatangani kontrak yang tidak adil ini, kebebasan peribadi, harta benda dan hasil tenaga kerja semuanya dikendalikan oleh syarikat swasta, sehingga membiarkan petani menjadi 'hamba moden' di bawah syarikat swasta," kata mereka.

Bagaimanapun, Sallehudin memberitahu Malaysiakini syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarikat swasta itu sebenarnya dinilai lebih rendah berbanding nilai tanah yang diduduki secara haram oleh petani.

"Apa-apa syarat yang ditetapkan oleh syarikat JV (usahasama), nilainya adalah lebih rendah daripada harga tanah kerajaan yang diteroka haram oleh penduduk.

"Malah, kalau kerajaan hendak merampas tanah durian tersebut tanpa pampasan pun, tiada melanggar mana-mana peruntukan undang. Sepatutnye mereka berterima kasih bukannya membuat fitnah dan tohmahan

"Kerajaan negeri masih mempunyai pilihan untuk merampas tanaman durian mereka tanpa pampasan dan mendakwa mereka ke mahkamah jika mereka masih ingin kekal menduduki tanah-tanah tersebut secara haram," jelasnya.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan daripada RPD terhadap dakwaan Samka ini.

[Baca berita penuh]