Pemimpin Bersatu pula beri 5 sebab perlu sertai Muafakat Nasional
Jika semalam Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan lima kemarahan akar umbi parti mereka kepada Bersatu, hari ini giliran pemimpin Bersatu pula menyatakan sebab mereka perlu bersama Umno dalam Muafakat Nasional (MN).
Sinar Harian memetik Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Razali Idris yang menegaskan bahawa sebab utama penyertaan Bersatu ke dalam MN adalah kerana dijemput oleh Umno dan PAS sendiri.
Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu berkata sebab kedua pula adalah demi mewujudkan penyatuan nasional membabitkan parti terbesar Melayu, Islam dan pribumi itu.
“Sebab ketiga adalah bagi membina wawasan keterbukaan dengan membentuk satu gagasan besar di Semenanjung dan bersepakat dengan komponen (parti-parti) di Sabah dan Sarawak dan keempat adalah sebagai bukti Bersatu tidak jumud dengan perkauman.
“Sebab kelima pula bagi menyasarkan gabungan parti-parti yang terbabit ini untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan dua pertiga majoriti," katanya.
Razali berkata demikian mengulas kenyataan Asyraf semalam.
Asyraf dalam satu kenyataan semalam tampil melahirkan rasa tidak senang dengan pengumuman Bersatu untuk menyertai MN.
Dalam kenyataannya itu, Asyraf menyenaraikan lima sebab utama yang menurutnya memperlihatkan kemarahan dan keresahan ahli akar umbi parti itu berhubung perkembangan berkenaan.
Perkara utama dibangkitkannya adalah berkaitan “pengkhianatan” anggota parlimen Bersatu yang dalam pilihan raya lalu memenangi kerusi atas tiket BN.
“(Seramai) 15 ahli parlimen Bersatu merupakan ahli parlimen Umno yang melompat sedangkan mereka menang atas penat lelah jentera parti di akar umbi,” katanya.
Sebelum ini nada hampir sama telah disuarakan oleh Naib Presiden Umno Khaled Nordin dan Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah.
Mengulas lanjut, Razali membidas Asyraf dengan berkata ketua pemuda Umno itu tidak sepatutnya berfikiran "sempit seperti katak di bawah tempurung" dengan memperlekehkan Bersatu.
Tegas Razali, ini kerana Bersatu telah menang dalam PRU14 yang lalu.
"Sepatutnya Aysraf memberi penjelasan yang positif kepada akar umbi supaya mereka semua menerima dengan apa yang ada pada ketika ini dan memberi tumpuan membangunkan ekonomi yang diterajui oleh Kabinet Perdana Menteri yang pada masa ini ada menteri dari Umno dan PAS," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai