Majoriti bahagian Bersatu di S'gor sokong Muhyiddin, kata naib presiden
Majoriti bahagian Bersatu di Selangor menyokong presiden parti Muhyiddin Yassin, kata naib presidennya Abdul Rashid Asari.
Ini selepas pemimpin Bersatu bahagian Klang, Kuala Selangor dan Jeram keluar parti awal bulan ini.
Tindakan keluar parti itu menyusuli langkah bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang menubuhkan parti baru untuk mencabar Bersatu.
Bercakap kepada media malam ini, Rashid yang juga pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor berkata masih ada 19 lagi bahagian Bersatu di negeri itu yang masih utuh.
“Dari 22 bahagian di Selangor, 19 ketua bahagian memberi sokongan padu kepada presiden dalam memimpin perjuangan parti.
"Dari tiga bahagian di mana para pemimpinnya meninggalkan parti, dua bahagian dipimpin oleh timbalan ketua yang kini menjadi pemangku ketua.
"Kami belum lagi memilih pengganti untuk hanya satu bahagian," kata ketua Bersatu Selangor sambil diapit oleh pemimpin bahagian dalam pertemuan parti di Klang.
Rashid menjelaskan parti itu mempunyai "lebih 50,000" ahli di Selangor dan mendakwa kebanyakan yang keluar parti adalah "mereka yang kalah" dalam pemilihan parti.
Mesyuarat malam ini diadakan menjelang hari terakhir pemilihan parti Sabtu ini.
Cuma segelintir, Umno tiada masalah
Ketika ditanya sekiranya akar umbi Umno Selangor menerima tindakan Bersatu untuk bergabung dengan Muafakat Nasional, Rashid mengakui memang terdapat rasa tidak puas hati itu.
Bagaimanapun, beliau yakin kebanyakan ahli akar umbi Umno akan memberikan sokongan memandangkan pemimpin Umno peringkat tinggi sudah menyokong langkah tersebut.
"Sebenarnya memang ada pihak-pihak dari Umno yang tidak setuju dan sebagainya tapi itu segelintir daripada mereka
"Tetapi pada dasarnya pihak kepimpinan Umno memang setuju untuk bersama-sama dengan bersatu di dalam MN," jelas Rashid lagi.
Beberapa pemimpin Umno telah menyatakan rasa kurang senang terhadap usaha menjemput Bersatu menyertai MN.
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini mengambil maklum "rasa kurang senang" akar umbi Umno berkenaan langkah itu.
Bahkan, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menyenaraikan lima sebab utama yang menurutnya memperlihatkan kemarahan dan keresahan ahli akar umbi parti itu.
Perkara utama dibangkitkannya berkaitan “pengkhianatan” anggota parlimen Bersatu yang dalam pilihan raya lalu memenangi kerusi atas tiket BN.
Asyraf juga berkata berbeza dengan keputusan Umno bekerjasama dengan PAS, penyertaan Bersatu ke dalam MN dilihat ahli akar umbi semacam suatu yang "terdesak dan terburu-buru."
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai