Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

‘Khairuddin perlu jelaskan pelanggaran SOP atau kami lapor polis’

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menuntut penjelasan dari Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

"Kami beri menteri itu sampai hari ini untuk memberi penjelaskan mengapa kita tidak harus lapor polis terhadapnya kerana melanggar SOP yang ditetapkan," kata pemimpin DAP itu kepada Malaysiakini hari ini.

Media sebelum ini memetik sumber yang rapat dengan Khairuddin sebagai berkata bahawa  menteri itu sudah menjalani ujian khas Covid-19 dan didapati negatif setelah pulang ke rumah pada 7 Julai susulan lawatan ke Turki.

Perjalanannya ke luar negara, kata sumber itu, telah diluluskan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, dan sumber menyifatkan bahawa Turki dikategorikan sebagai negara zon hijau pada masa tersebut.

Walau bagaimanapun, semasa kunjungan Khairuddin, Turki mencatatkan lebih 5,600 kes Covid-19 baru dan 93 kematian.

Secara kumulatif, negara itu mempunyai lebih dari 250,000 kes Covid-19 dengan 6,061 kematian. Ini menjadikan dakwaan bahawa Turki negara zon hijau dipertikaikan.

Meskipun ujian menteri itu didapati negatif, kata Lim, Khairuddin seharusnya menjalani kuarantin kerana virus tersebut memakan masa hingga 14 hari sebelum menunjukkan sebarang gejala.

Malah, kata Lim, Muhyiddin dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga menjalani kurantin setelah dikatakan mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19.

"Mengapa Khairuddin diberi layanan istimewa?" soalnya.

Lim juga memberi contoh tentang pengendali restoran nasi kandar yang bertanggungjawab ke atas penularan Kluster Sivaganga di Kedah yang pada mulanya menunjukkan negatif ketika kembali tetapi kemudian didapati positif.

Mahkamah Majistret Alor Setar kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 ke atas pengusaha restoran itu kerana tidak mematuhi perintah kuarantin di rumah sehingga mengakibatkan penularan virus itu.

"Bukankah menteri itu juga harus dikenakan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 seperti pemilik restoran di Kubang Pasu yang melanggar perintah kuarantin di rumah?" soal Lim, yang juga adalah seorang peguam.

Kegagalan Khairuddin mematuhi SOP pertama kali dibangkitkan oleh seorang lagi anggota parlimen DAP, Teresa Kok, di Dewan Rakyat semalam.

"Menteri Perusahan, Perladangan dan Komoditi pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi pada 13 haribulan dia datang ke parlimen.

"Kita tahu semua orang yang berkunjung ke luar negara harus dikuarantin selama 14 hari (selepas pulang).

"Sekarang ni ada menteri kabinet tak ikut (peraturan yang ditetapkan)," katanya semasa berucap di Dewan Rakyat, semalam.